Bagi Siri Syarahan Umum yang kedua ini, Pusat Sejarah Rakyat menampilkan sosok yang tidak lagi asing dalam peta sains sosial negara, Prof. Emeritus Dato Dr Abdul Rahman Embong dengan judul syarahannya Persoalan Negara Bangsa dan Bangsa Malaysia: Mengimbau Sejarah, Melihat Masa Depan yang turut diulas oleh Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih (Pengerusi Yayasan Mahkota & Mantan Pengerusi MIER), Prof. Abdul Halim Ali (Felo Akademi Profesor Malaysia & Mantan Penyandang Kursi Nusantara, Universiti Malaysia Sarawak) & Dr. Nur Dayana Ariffin (Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya).

Tarikh: 14 September 2022
Waktu: 10:00 – 12:00 Tenghari
Lokasi (secara fizikal): Dewan Kuliah B, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya

Abstrak syarahan:

Banyak perbincangan telah berlangsung sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dan lebih-lebih lagi setelah kemerdekaan Malaya (kemudian Malaysia) pada 31 Ogos 1957 mengenai persoalan pembinaan negara-bangsa dan perpaduan nasional.

Dua cabaran utama yang berkaitan dengan pembinaan bangsa perlu ditangani oleh negara kita ketika mencapai kemerdekaan. Pertama ialah persoalan nasional di mana Malaya (kemudian Malaysia) telah mewarisi sebuah negara moden daripada British tetapi tanpa sebuah nasion atau bangsa, kecuali sebuah masyarakat majmuk iaitu masyarakat berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama yang belum terbentuk identiti nasional yang dikongsi bersama.

Hal sedemikian menjadikan persoalan nasional dalam erti kata pembinaan suatu bangsa yang bersatu padu dengan identiti nasional yang sepunya sebagai isu utama. Kedua ialah persoalan ketidakseimbangan keadaan sosio-ekonomi mengikut garis kelas, etnik dan wilayah, terutamanya antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Ketidakseimbangan yang merupakan hasil warisan sejarah penjajahan British ini perlu dipecahkan demi keadilan sosial, perpaduan nasional dan integrasi wilayah.

Mengambil kira dua cabaran utama ini, syarahan ini akan mengupas persoalan negara-bangsa dan Bangsa Malaysia dengan memanfaatkan perspektif sejarah dan menganalisis dasar-dasar berhubung persoalan ini dalam era pasca-Merdeka khususnya Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai objektif serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan fungsi ekonomi dengan kaum demi mencapai matlamat besar DEB iaitu perpaduan nasional.

Konsep Bangsa Malaysia secara rasmi diungkapkan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein di Dewan Rakyat pada Julai 1971 ketika membentangkan usul Dasar Ekonomi Baru, dan kemudian dalam perisytiharan Wawasan 2020 oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam Wawasan 2020, pembinaan Bangsa Malaysia merupakan cabaran pertama dan paling penting daripada sembilan cabaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Walau bagaimanapun, konsep ini bukan sahaja dilihat sebagai sesuatu dari atas tetapi juga dari bawah dari kalangan intelektual dan rakyat berbilang kaum yang melihatnya berdasarkan perspektif masing-masing.
Syarahan ini juga akan membicarakan cabaran-cabaran yang dihadapi untuk membina negara-bangsa dan Bangsa Malaysia yang bersatu dalam kerangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dan menilai apakah prospek perkembangannya bagi masa hadapan negara dan bangsa pada abad ke-21 ini.

Anjuran:

Siri Syarahan Umum Pusat Sejarah Rakyat ini merupakan anjuran Pusat Sejarah Rakyat dengan kerjasama Naratif Malaysia, Jabatan Sejarah Universiti Malaya serta Fakulti Sejarah & Sains Sosial Universiti Malaya