Teks ini adalah ucapan Prof. Dr. Syed Husin Ali pada majlis penyampian hadiah Said Zahari untuk pemenang Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2020 pada tanggal 27 Februari 2021, jam 10:00 pagi.

UCAPAN UNTUK ANUGERAH SAID ZAHARI

Bismillaahirrahmaanirrahiim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saudara saudari yang dihormati sekalian.

Bagi pihak Pusat Sejarah Rakyat dan selaku Pengerusi Lembaga Pengarahnya, saya mengucapkan Selamat Datang dan Terima Kasih kepada semua kerana dapat melapangkan masa untuk mengikuti Majlis Pengumuman Pemenang Anugerah Wartawan Muda Said Zahari dan Forum bertajuk ‘Membangun Kewartawanan Progresif: Anugerah Said Zahari’.

Sebelum saya menerangkan tentang Anugerah Said Zahari ini, izinkan saya memperkenalkan secara ringkas Pusat Sejarah Rakyat, terutama bagi mereka yang belum mengenalinya.

Pusat Sejarah Rakyat atau PSR adalah sebuah badan bukan-kerajaan yang didaftarkan kira-kira 10 tahun lalu, iaitu dalam bulan Oktober 2011, di bawah Pendaftar Syarikat sebagai pertubuhan yang bukan mencari keuntungan. 

Tujuan utamanya ialah untuk mengumpul, menyusun serta menyimpan segala maklumat yang terdapat tentang tokoh, gerakan serta perjuangan rakyat, dan merekod serta menerbitkannya sebagai bahan-bahan Sejarah Rakyat. Yang dimaksudkan dengan Sejarah Rakyat di sini ialah sejarah terutamanya mengenai golongan bawahan, berbeza dengan Sejarah Rasmi yang lebih menumpu perhatian kepada tokoh atau golongan atasan yang memerintah.

Oleh kerana itu aktiviti terpenting PSR ialah menerbitkan buku-buku untuk bacaan umum yang dapat dianggap sebagai bersifat Sejarah Rakyat. Selama kira-kira sepuluh tahun wujudnya, PSR sudah dapat menerbitkan hampir 10 buah buku mengenai beberapa aspek sejarah rakyat di Malaysia dan juga Singapura.

Di Malaysia, di bawah pengelolaan atau karangan Sdr-sdr Abdul Rahman Embong dan Syed Husin Ali, kami telah dapat menerbitkan buku-buku tentang memoir wartawan Said Zahari, gerakan pekerja (ladang Asahan) dan Sejarah Rakyat Malaysia. Dua buah buku tentang sajak-sajak dari penjara oleh Said Zahari yang belum diterbitkan dan kumpulan tulisan tentang tokok-tokoh kebangsaan pejuang kiri sedang diusahakan dan hampir siap.

Di Singapura pula, terutama di bawah kelolaan Dr Poh Soo Kai serta teman-temannya terdapat beberapa buah buku yang mengumpulkan karangan-karangan tentang politik kiri di Pulau itu, seperti perkembangan beberapa tokoh (Lim Chin Siong), gerakan (buku The Fajar Generation) serta perjuangan (buku Living in a Time of Deception).

Selain menerbitkan buku, diuruskan juga aktiviti lain yang berkaitan dengan sejarah rakyat. Umpamanya, sekarang ini PSR sedang menjalankan webinar melalui talian (zoom) yang mengandungi syarahan beserta perbincangan bulanan tentang aspek2 tertentu berhubung Sejarah Rakyat; ini diuruskan oleh Rusaslina (Lin). Sebelum ini telah diadakan juga beberapa majlis perbincangan tentang tokoh-tokoh pejuang kiri dan mengenai buku-buku. 

Mulai tahun lalu PSR telah memulakan projek Anugerah bagi wartawan muda. Anugerah ini mengambil sempena seorang tokoh besar dalam bidang kewartawanan  Malaysia dan Singapura, bahkan serantau Nusantara juga, iaitu Allahyarham Said Zahari. Pak Said, seperti beliau suka dipanggil, pernah menjadi pengarang akhbar Utusan Melayu. Beliau telah memimpin mogok pekerja-pekerja Utusan selama lebih tiga bulan untuk mempertahankan kebebasan akhbar, selepas UMNO mengambil alih pemilikan syarikat Utusan. 

Apabila mogok itu gagal, beliau serta hampir semua kakitangan Utusan dibuang kerja. Pada satu ketika beliau telah pergi menziarahi kekerja-pekerja Utusan yang mogok di Singapura dan selepas itu beliau tidak dibenarkan kembali ke Semenanjung Malaya. Di Singapura beliau ingin menceburkan diri dalam politik dengan menjadi Ketua Parti Rakyat di sana. Beliau sempat memegang jawatan itu tidak sampai sehari, kerana telah ditahan oleh Lee Kuan Yew di bawah undang-undang keselamatan yang zalim dan meringkuk dalam penjara selama 17 tahun.

Anugerah Said Zahari bertujuan untuk mengabadikan nama besar beliau dalam sejarah bagi melambangkan suatu rangkaian nilai perjuangan, iaitu nilai kemerdekaan, kemanusiaan, perpaduan dan juga nilai kebebasan, kebenaran serta keadilan. Semua nilai ini dijelmakan dalam kehidupannya  dan juga dalam tugasnya sebagai wartawan. Said Zahari nyata sekali seorang wartawan yang progresif. Beliau hidup dalam zaman yang penuh pancaroba dan berjuang dengan mencurahkan pengorbanan yang amat luar biasa. Justeru, penghormatan yang diberikan oleh Pusat Sejarah Rakyat kepada Pak Said ialah dengan mengabadikan nama beliau melalui “Anugerah Wartawan Muda Said Zahari”.  

Kami berharap Anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan kepada sejarah dan pengorbanan beliau yang cukup besar. Walaupun anugerahnya terlalu kecil, hanya berupa wang tunai sebanyak RM3000 saja, akan tetapi bagi kami ia sangat bererti. Kami di PSR berharap dan yakin contoh teladan beliau yang cemerlang akan memberi inspirasi kepada anak-anak muda, terutama wartawawan-wartawan muda di zaman ini.

Anugerah Said Zahari ini dirancang untuk tiap-tiap tahun. Sekarang ini kita sedang dalam tahun kedua. Wartawan muda di bawah umur 40 tahun dari Malaysia dan Singapura diundang secara terbuka untuk mengemukakan biasanya sebuah dan tidak lebih daripada tiga karangan mereka untuk dipertandingkan. Karangan-karangan itu hendaklah dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris dan juga dalam Bahasa-bahasa lain yang diterjemah kepada salah satu daripada dua Bahasa tersebut.

Tahun ini sebanyak 13 buah karangan, berupa rencana atau berita, telah dikemukakan oleh lapan orang wartawan muda, kebanyakan dari media maya (melalui Internet). Para Hakim telah menyenarai pendek empat buah karangan terbaik, yang ditulis oleh: Zaim Aiman Ibrahim, Lim Hong Siang, Wong Kai Hui dan T. Sukumaran. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan pujian kepada mereka. Daripada kalangan mereka ini Para Hakim juga dengan sebulat suara memilih seorang pemenang. 

PSR meminta maaf kerana membuat silap memberitahu keputusan hampir dua minggu lebih awal. Namun, sekarang ini, dengan penuh sukacita saya mengumumkan bahawa pemenang Anugerah Wartawan Muda Said Zahari tahun ini ialah Sdr Zaim Aiman Ibrahim. Karangannya bertajuk “Pesawah Buat Benih Sendiri Untuk Lawan Katel Padi”. Pusat Sejarah Rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepadanya.

Sekian. Terima kasih.

Dr Syed Husin Ali
27hb Februari 2021