Projek pemetaan budaya Jalan Cerita ini merupakan usahasama Pusat Sejarah Rakyat (PSR) serta para guru dan pelajar di Buku Jalanan Chow Kit (BJCK). Ia didanai oleh The Hai-O Arts & Culture Grants melibatkan beberapa siri bengkel pengumpulan maklumat dan sejarah digerakkan, penghasilan peta budaya serta jalan keliling sekitar Chow Kit yang diketuai oleh para pelajar pada 26 Ogos 2023.

Tentang proses dan acara Jalan Cerita:

Dicetuskan oleh beberapa siri pusing keliling Chow Kit sejak 2022 oleh penggerak dan para pelajar BJCK, Jalan Cerita merupakan sebuah projek pemetaan berbentuk poskad setebal 14 mukasurat yang berkesinambungan daripada proses saling belajar ketika berjalan dan bercerita di keliling Chow Kit.

Melalui acara ini, para peserta berjalan sekitar Chow Kit selama lebih kurang 2 jam bersama penggerak Jalan Cerita dengan berpandukan peta poskad yang memuatkan gambar, lakaran, perca pengalaman serta penceritaan oleh mereka ketika membesar di Chow Kit; yang kadang dilihat hanya dari jauh dan samar.

Ayuh bersama kami membugar sisi Chow Kit yang pelbagai dengan isi kehidupannya yang rencam – bermula dengan kisah-kisah yang dikumpul para pelajar BJCK sebagai latar cerita sambil kita berjalan di dalam isi kotanya!