Tahun 2021, genap 60 tahun peristiwa mogok terpanjang dalam sejarah Malaysia melibatkan 115 pekerja akhbar Utusan Melayu. Peristiwa mogok lebih 100 hari ini penting dalam membulatkan tekad Said Zahari (1928 – 2016) selaku wartawan, penyair, aktivis serta sosok ahli politik yang tegas dalam perjuangan anti-penjajahan dalam membentuk sebuah masyarakat progresif. Di tangannya, pena dan akhbar adalah senjata perubahan dalam menggerakkan kaum muda untuk mengambil tindakan dan menentang ketidakadilan.

Said Zahari mula berkhidmat sebagai wartawan bagi suratkhabar Utusan Melayu pada tahun 1951 dan dilantik sebagai editor Utusan Melayu yang berpusat di Kuala Lumpur pada tahun 1959. Sebagai seorang wartawan berintegriti tinggi, beliau teguh mempertahankan kebebasan akhbar daripada tekanan parti pemerintah. Penglibatannya di lapangan aktivisme politik sekaligus mengakibatkan beliau disingkir dari Malaya. Sekembalinya beliau ke Singapura, beliau dilantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura pada 1 Februari 1963, namun sehari kemudiannya beliau ditangkap di bawah Operasi Coldstore dan dipenjara tanpa bicara selama 17 tahun.

Komited kepada keadilan sosial, juara kebebasan akhbar yang tidak kenal lelah dan seorang nasionalis yang menolak politik perkauman, legasi Said Zahari menjadi inspirasi buat kita semua. Sebagai penghormatan pada legasi ini, Pusat Sejarah Rakyat bersama waris keluarga Said Zahari melancarkan Anugerah Wartawan Muda Said Zahari buat tahun ketiga berturut-turut pada tahun 2021.

Anugerah ini mendapat cukup banyak penyertaan daripada wartawan muda seluruh Malaysia pada tahun kedua dan pertama ia dilancar. Pada tahun 2019, Chiew Huiyee, menerusi rencananya yang berjudul ‘Bajau Laut: Once sea nomads, now stateless berjaya merangkul anugerah ini pada tahun pertamanya. Pada tahun 2020 pula, anugerah ini diperolehi oleh Zaim Aiman Ibrahim dengan artikelnya berjudul ‘Pesawah buat benih sendiri untuk lawan kartel padi‘. Dengan fokus rencana melibatkan isu terpinggir serta masyarakat terbanyak, kedua-dua pemenang anugerah berjaya mengetengahkan legasi kewartawanan Said Zahari.

Bagi merancakkan lagi penyertaan bagi tahun 2021 ini, kami menjemput wartawan muda, termasuk pelajar, berumur 18 hingga 39 tahun, dari seluruh Malaysia untuk menghantar karya yang telah diterbitkan dalam tempoh sepanjang 12 bulan yang lalu dalam tahun 2021. Panel hakim akan menilai dan memilih cerita yang menonjolkan prinsip keadilan sosial, merancakkan perbincangan sivil, dan berpotensi untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.

Para panel akan mempertimbangkan cerita dalam pelbagai media dan format yang telah diterbitkan dalam tempoh masa 12 bulan sebelum tarikh tutup. Selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, penyertaan laporan berita dalam bahasa vernakular juga dialu-alukan dengan syarat dilampirkan terjemahan (dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris).

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00 dan tambahan RM2,000.00 untuk perbelanjaan penyertaan aktiviti pendedahan dan pembinaan kapasiti (seperti bengkel, festival, lawatan belajar dll.) berkaitan kewartawanan dan hak asasi manusia.

Penyertaan dibuka dari 1 hingga 31 Disember 2021. Borang penyertaan boleh didapati di pautan INI.