Pada hari ini dalam tahun 1945, parti politik pertama dalam sejarah negeri Singapura telah ditubuhkan oleh sekumpulan cendekiawan yang berpendidikan Inggeris untuk memperjuangkan kemerdekaan di Malaya termasuk Singapura. Parti politik itu bernama Malayan Democratic Union (MDU).

Antara individu yang menjadi para pengasas MDU ialah Lim Kean Chye, Philim Hoalim, Lim Hong Bee, John Eber, Gerald de Cruz dan Wu Tian Wang.

Selepas penjajah British melaksanakan rancangan Malayan Union, yang kemudiannya digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, MDU merupakan badan utama yang menggerakkan gabungan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) pada tahun 1946 bagi menentang rancangan penjajah.

Bersama-sama dengan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), AMCJA dan PUTERA telah menggubal Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947 sebagai alternatif kepada perlembagaan yang dikemukakan oleh penjajah British. Ahli-ahli MDU telah memainkan peranan utama dalam menyusun dan menghasilkan draf Perlembagaan Rakyat selepas beberapa siri perundingan di antara wakil-wakil pemimpin berbilang kaum dalam PUTERA-AMCJA.

Sebagai tanda protes terhadap cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dikemukakan oleh penjajah, MDU bersama-sama PUTERA-AMCJA telah melancarkan mogok hartal di seluruh tanahair pada 20 Oktober 1947.

Gambar di atas menunjukkan para pemimpin MDU, Gerald de Cruz dan Philip Hoalim sedang memberi pidato semasa sebuah perhimpunan protes terhadap pilihanraya Majlis Perundangan di Singapura pada bulan Mac 1948.

Malangnya MDU tidak bertahan lama kerana terpaksa dibubarkan selepas penjajah British mengistiharkan Darurat di Malaya dan Singapura pada bulan Jun 1948.

Sumber gambar: Buku ‘From Malayan Union to Singapore Separation’ Mohamed Noordin Sopiee (University Malaya Press, 2005)

malayan-democratic-union