Wawancara bersama Dr. Rohana Ariffin ini berkisar tentang penglibatan aktif beliau dalam gerakan pelajar hingga sebagai aktivis sarjana semasa berkhidmat sebagai ahli akademik di universiti. Sebagai antara segelintir ahli akademik yang pernah didakwa di bawah AUKU, Dr. Rohana  percaya bahawa ahli akademik perlu mengambil sikap yang jelas dalam isu yang melibatkan keadilan sosial. Pada beliau, ahli akademik, lebih-lebih lagi ahli sains sosial yang secara aktif menyiasat perkembangan dan perubahan masyarakat, harus memiliki sikap dan memainkan peranan dalam mengajukan perubahan sosial bagi membaiki masyarakat. Dr. Rohana merupakan bekas pensyarah sains sosial, khusus mengenai hubungan industri dan kajian wanita di Universiti Sains Malaysia (USM). Semasa perkhidmatannya, beliau bukan sahaja aktif dalam kesatuan kakitangan universiti, tetapi juga NGO dan kemudiannya parti politik, Parti Rakyat Malaysia (PRM).

LATAR BELAKANG KESARJANAAN DAN AKTIVISME

NARATIF MALAYSIA: Terima kasih Dr. Rohana Ariffin kerana sudi ditemubual berkaitan kebebasan akademik di Malaysia dan berkaitan juga dengan 50 tahun Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU). Dr. Rohana sendiri terlibat dalam akademik dan secara langsung berada dalam waktu-waktu tertentu yang berkait dengan AUKU dan kebebasan akademik di Malaysia. Kita juga tidak punya ramai ahli akademik yang aktif di luar kampus, lebih-lebih lagi politik. Boleh Dr. terangkan bagaimana penglibatan dan perjalanan karier sebagai ahli akademik?

ROHANA ARIFFIN: Saya dahulu bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Gurney. Akan tetapi, persekitarannya pada pandangan saya agak konservatif. Tugasnya pula mengajar mata kuliah asas Sains Sosial. Maka, saya telah memohon ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1982. Pada masa itu, saya juga terlibat dengan majalah Nadi Insan yang dikendalikan oleh Saudara Dr. Jomo KS dan Saudara Dr. Nasir Hashim, yang mana kemudiannya majalah tersebut telah diharamkan. Apabila saya ke USM mengajar Basic Sociology, Women’s Studies dan Labour atau Industrial Relations. Pada masa itu, Allahyarham Hashim juga baru pulang dari Amerika Syarikat. Kami menyertai persatuan yang menggabungkan kakitangan akademik dan kakitangan pentadbiran USM iaitu Kesatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran Universiti Sains Malaysia (PKAP). Pada masa itu, kami ada membincangkan pelbagai perkara atau isu sekitar tahun 1982, seperti isu union dan isu politik. Ketika itu masih belum ada Women’s Crisis Centre (WCC) di Pulau Pinang. Rakan-rakan saya dari Kuala Lumpur telah menubuhkan All Women’s Action Society (AWAM). Ada cadangan untuk menubuhkannya di Pulau Pinang kerana pada masa itu, masalah keganasan terhadap wanita atau violence agains women (VAW) dan jenayah rogol agak serius, kes-kes tidak dilaporkan, dan tiada undang-undang khusus untuk menanganinya. Saya telah bekerjasama dengan dua orang rakan lain untuk mewujudkan WCC atau Pusat Krisis Wanita. Saya terlibat selama 15 tahun menjadi Presiden dan jawatankuasa, serta terlibat dalam aktiviti ceramah di luar mengenai VAW. Semasa itu kami juga terlibat dalam pewujudan Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) yang sebelum itu tidak wujud. Ia mengambil masa sepuluh tahun untuk direalisasikan. Dalam perjumpaan bersama Joint Action Group (JAG), kementerian berkaitan wanita masih belum terlibat. Kami yang mengadakan kerja-kerja akar umbi dan mendesak agar akta tersebut diwujudkan, tetapi menerima banyak tantangan daripada golongan yang konservatif, termasuk daripada jabatan agama. Mereka menyatakan akta tersebut akan mencampuri urusan keluarga dan mempersoal autoriti lelaki dalam keluarga. Kami tidak mempersoalkan lelaki, tetapi keganasan rumah tangga dalam keluarga.

Seperkara lain, Free Trade Zone diwujudkan di Pulau Pinang pada 1970-an. Pelbagai masalah wujud akibat penghijrahan wanita dari kampung. Misalnya, kawasan Relau yang merupakan kawasan penempatan pekerja industri disifatkan seperti ‘Hattyai’ (dengan konotasi negatif) yang menimbulkan pandangan buruk terhadap pekerja wanita. Ketika itu masih belum ada pekerja migran. Rata-rata pekerja ialah wanita Melayu dari kawasan luar bandar. Antara persoalan yang timbul ketika itu adalah sama ada mereka dibenarkan terlibat dalam kesatuan, situasi asrama mereka, dan gaji yang setimpal.

Selain di universiti, saya terlibat dalam kegiatan bersama kesatuan sekerja, memberi ceramah berkenaan hak wanita, hak pekerja, peranan kesatuan sekerja dan mengapa pekerja harus menyertai kesatuan sekerja. Saya bersama-sama dengan ramai penggerak kesatuan sekerja. Ramai antara mereka telah tiada. Mereka amat komited terhadap kesatuan. Antaranya ialah Malaysian Trade Union Congress (MTUC) di Pulau Pinang yang digerakkan oleh Saudara Razak pada masa itu, juga Saudara Kenny, Saudara Bala, dan Saudara Veeriah. Jadi, saya merasakan banyak isu di luar kampus yang perlu diselesaikan. Tugas sebagai kakitangan akademik dan persatuan akademik dijalankan. Kerja-kerja di luar juga banyak.

Saya melakukan kerja-kerja aktivisme ini kerana pada pandangan saya kita mempelajari teori seperti union theory, labour theory, left theory dan right theory. Seperkara yang lain ialah mengambil berat apa yang berlaku pada peringkat akar umbi. Teori dan praktik sangat penting dan saling berkait. Bukan seperti sesetengah ahli akademik yang menulis laporan berdasarkan hasil kerja orang lain. Jika kita ingin mengetahui sesuatu, kita harus turun ke lapangan. Oleh sebab itulah apa yang berada di lapangan sangat berbeza berbanding apa yang dilaporkan, khususnya dalam media. Media terhad pada masa itu. Tiada media sosial. Selain itu ialah penglibatan saya dalam persatuan kakitangan akademik. Sebagai ahli akademik (sains sosial), saya belajar pelbagai teori – teori kesatuan sekerja, teori buruh, teori kanan dan kiri. Selain mengajarkan subjek ini di universiti, adalah penting untuk mengetahui sendiri keadaan sebenar di lapangan. Teori dan praktis adalah sangat penting, dan saling terkait. Kita tidak boleh menulis kajian akademik hanya berdasarkan laporan media, apatah lagi dalam keadaan media yang penuh terbatas ketika itu.

PEMBENTUKAN KESEDARAN ISU KEMASYARAKATAN

NARATIF MALAYSIA: Daripada penglibatan tersebut, apakah sebenarnya yang membentuk kesedaran Dr. sebagai seorang kakitangan akademik terlibat dalam aktivisme masyarakat?

ROHANA ARIFFIN: Saya berasal dari pekan kecil Tapah, Perak. Ayah saya seorang pembantu perubatan di hospital. Bekerja sebagai male dresser atau male nurse. Beliau mempunyai kesedaran tentang ketidakadilan antara pekerja, iaitu atendan dengan doktor atau pentadbiran. Ayah saya akan menulis petisyen dan diberikan kepada doktor. Maka, saya belajar tentang keadilan melalui ayah saya. Di sekolah, guru bertanyakan cita-cita saya dan menyebut tugas sebagai wartawan, tetapi saya membalas bahawa saya ingin menjadi pegawai kebajikan. Dalam fikiran saya sebagai anak kecil ketika itu adalah untuk saya membantu orang lain.
Apabila saya memasuki Universiti Malaya (UM), saya mendapati terdapat banyak pergolakan seperti Perang Vietnam di luar negara, peristiwa Hamid Tuah yang mana ramai orang Melayu bermigrasi ke kota, tetapi tidak mempunyai petempatan, justeru mengambil tanah di Telok Gong. Di UM, terdapat sudut pidato pada masa itu yang terletak di bawah pokok, sudut kecil yang membenarkan sesiapa sahaja untuk berpidato, seperti di Hyde Park. Universiti juga membenarkan pelbagai organisasi seperti Kelab Sosialis dan Kelab Bahasa Melayu pimpinan Anwar Ibrahim. Rakan-rakan saya ramai terlibat dalam Kelab Sosialis seperti Syed Hamid. Dalam satu kejadian, Hamid Tuah telah ditahan. Kami bersama-sama membantah tindakan tersebut, dan memberikan sokongan terhadap Hamid Tuah di bangunan sekretariat negeri. Ketika itu, polis cawangan khas atau Special Branch (SB) hadir mengambil gambar dokumentasi fail. Isteri Hamid Tuah, anak-anaknya Siti Nor dan Fatimah Sham ke kampus UM dan menyampaikan ucapan di speaker’s corner. Para pelajar memberikan sokongan kuat kepada mereka.

Saya juga sedar apabila melihat isu kemiskinan semasa itu. Di Pandamaran, para petani Melayu termasuk Hamid Tuah. Kami pelajar mengumpul derma untuk mereka. Parti politik yang membantu ialah Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Kami ke sana untuk menyumbangkan derma. Bagi Perang Vietnam, kami mengadakan demonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat berkenaan pengeboman di Vietnam. Dengan pergolakan antarabangsa dan isu-isu tempatan, saya merasakan ia memberikan semacam kesedaran terhadap masyarakat kepada diri saya.
Selain itu, terdapat aktivis pelajar yang kebanyakannya lelaki akan datang berjumpa dan berbincang mengenai sosialisme dan sosialisme sebagai penyelesaian masalah-masalah masyarakat. Ia mencetuskan pertanyaan dan persoalan dalam diri, serta rasa ingin tahu. Namun, kesedaran mengenai feminisme datang kemudian selepas saya ke England.

PENGALAMAN AUKU 1971

NARATIF MALAYSIA: Dr. telah memberikan penjelasan yang cukup baik mengenai dinamika di peringkat antarabangsa dan tempatan. Negara-negara Dunia Ketiga mementingkan pendekatan developmentalisme dan kestabilan politik. Kegiatan yang Dr. ceritakan tadi boleh mengganggu pembangunan. Apakah itu rasional daripada perspektif negara untuk AUKU dilaksanakan? Apakah pandangan Dr. sebagai seorang sosiologis dan pernah mengalami waktu tersebut?

ROHANA ARIFFIN: Pandangan saya, rasional pihak kerajaan adalah untuk menyelia perjalanan universiti menjadi lebih cekap dan berkesan. Namun, salah satu motif di sebaliknya adalah untuk mengawal kerana di bawah AUKU kita tidak boleh terlibat dalam parti politik atau kesatuan. AUKU mengakibat penglibatan dalam parti-parti politik pembangkang telah terhenti. Seperti kita maklum, terdapat Menteri-menteri dalam UMNO sekarang telah terlibat sejak awal lagi tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap mereka. Jika terlibat dalam parti politik seperti Parti Rakyat Malaysia (PRM), seperti saya sejak 1970-an lagi, keahlian itu perlu dirahsiakan. Di universiti, anda juga tidak sepatutnya terlibat dalam kesatuan. Pencalonan jawatan universiti seperti Dekan dan sebagainya dikawal melalui hierarki. Sebaliknya, kami mengkehendaki pencalonan Dekan adalah menerusi pemilihan dalam kalangan ahli akademik tetapi tidak dibenarkan. Maka, terdapat kawalan oleh pihak berkuasa terhadap suara kami mengenai sesuatu isu, aktiviti-aktiviti seperti isu pekerja dan pendirian politik. Jika kenyataan anda menyebelahi pihak pembangkang, anda akan dipanggil untuk memberikan keterangan mengapa kenyataan tersebut dikeluarkan. Saya merasakan bahawa kebebasan untuk meluahkan pemikiran di universiti telah disekat, meskipun kenyataan-kenyataan terus diberikan di luar. Tiada tindakan dikenakan terhadap kami sehinggalah kes terhadap persatuan kakitangan di USM.

NARATIF MALAYSIA: Dr. ada menyebut tentang pemilihan Dekan. Adakah kebebasan untuk memilih itu wujud pada waktu sebelum AUKU semasa 1960-an dan 1970-an di universiti?

ROHANA ARIFFIN: Ya, sebelum itu jika kita melihat kepada UM dan USM, daripada pensyarah yang lebih senior, mereka berpeluang untuk menamakan calon yang mereka ingin dilantik menjadi Dekan. Di bawah AUKU sekarang, Naib Canselor misalnya dilantik oleh pihak kerajaan. Seperti seharusnya, ia perlu diserahkan kepada universiti kerana mereka lebih tahu siapa yang kompeten dan tahu kerja-kerja sebenar di universiti. Demikian campur tangan kerajaan dalam urus tadbir universiti. Jika individu tersebut tidak berhubungan baik dengan pihak kerajaan, beliau tidak mungkin dicalonkan sebagai Naib Canselor universiti. Saya rasakan amalan ini terpakai bagi semua universiti seluruh negara.

NARATIF MALAYSIA: Dr. masih ingat lagi respons daripada masyarakat universiti waktu itu? Adakah terdapat penolakan terhadap AUKU atau menerima sahaja?

ROHANA ARIFFIN: Tidak. Saya ingat itu yang menjadi isu semasa perjumpaan pada tahun 1985. Sebuah seminar yang dihadiri ramai akademik sekitar 200 orang jelas menunjukkan adanya rungutan dalam kalangan kami pada masa itu. Pertama, kami tidak dibenarkan terlibat dalam aktivisme. Kedua, terpaksa berkongsi telefon. Ketiga, apa yang saya nyatakan tadi mengenai pelantikan Dekan dan perlunya kebebasan yang lebih luas dalam akademik dan sebagainya. Ia menekankan AUKU sebagai pengawal kepada kebebasan.

NARATIF MALAYSIA: Apakah konteks yang membawa kepada seminar tahun 1985? Adakah didorong oleh isu atau terdapat perbincangan yang tersusun sebelumnya?

ROHANA ARIFFIN: Kami mewakili kakitangan akademik mengutarakan pandangan dan persoalan mengenai pelantikan dan kenaikan pangkat sama ada berasaskan kualiti kerja atau penilaian pihak Canselori. Kami mempersoalkan mengapa ia tidak dinilai oleh secara peer review bagi pelantikan profesor dan profesor madya. Selain itu mengenai larangan terhadap kakitangan akademik mengeluarkan kenyataan dan penglibatan dalam kesatuan turut menjadi isu. Hari berikutnya, wartawan The Star ada bersama. Saya ingat beliau ialah Wong Chun Wai (Datuk Seri). Allahyarham Hashim menyenaraikan suara para akademik iaitu: perkongsian talian telefon, tiada hak untuk memilih Dekan, tiada kebebasan berakademik. Sebagai sosiologis, peranannya adalah untuk menganalisa masyarakat. Apabila pandangan diberikan, dituduh membangkang kerajaan. Senarai tuntutan tersebut tersiar dalam akhbar. Apabila Naib Canselor membaca akhbar tersebut, beliau merasakan tuntutan tersebut ialah kritikan terhadap dirinya. Sedangkan, kritikan tersebut ditujukan terhadap sistem universiti secara keseluruhan. Awalnya, tindakan ingin dikenakan terhadap Allahyarham Hashim secara individu, tetapi kemudian dijelaskan bahawa senarai tuntutan tersebut ialah suara kolektif PKAP USM dan resolusi forum.

Implikasinya, kami dikenakan tindakan disiplin. Para pelajar bercakap hal-hal negatif tentang kami. Kami dikenakan tindakan pemberhentian kenaikan gaji tahunan selama dua ke tiga tahun. Selain itu, kami menghadapi risiko pembatalan elaun persaraan jika disabitkan bersalah kerana kes ini dibawa ke mahkamah untuk mendapat pengadilan yang lebih saksama berbanding Jawatankuasa Universiti. Peguam universiti diwaklili Raja Idrus, manakala kami diwakili Sulaiman. Selepas itu, berlaku Operasi Lalang 1987. Raja Idrus dan Sulaiman bersama-sama dalam pasukan pembelaan mangsa Operasi Lalang. Kes kami terpaksa ditangguhkan. Setelah beberapa tahun selepas itu, kes mahkamah kami dibicarakan semula yang mana ketika itu saya juga telah kembali dari England. Kami berjaya dalam kes mahkamah tersebut setelah kira-kira lima tahun dan saya mendapatkan semula tangga gaji asal yang ditarik sebelum itu.

KEBEBASAN AKADEMIK

NARATIF MALAYSIA: Bagaimanakah Dr. membandingkan keadaan kebebasan akademik di luar negara, khususnya di United Kingdom tempat Dr. menjalani pengajian peringkat Master dengan kebebasan akademik di Malaysia?

ROHANA ARIFFIN: Saya ingat kita perlu faham juga bahawa sistem pendidikan universiti di Malaysia masih agak baharu. UM baru sahaja berpindah dari UM Singapura ke Kuala Lumpur. Kita masih baharu daripada segi pengisian pelajaran dan material. Apa yang boleh saya kenal pasti ialah tiadanya hierarki antara pensyarah dan para pelajar. Di sana, para pensyarah seperti rakan-rakan biasa. Selepas kuliah, pensyarah dan pelajar boleh bersama-sama ke park untuk minum dan berbincang. Saya berfikir, kenapakah di Malaysia para pelajar berasa takut dengan pensyarah? Di UM, hierarki itu ada. Terdapat pensyarah yang mesra dengan pelajar tetapi tidak ramai. Misalnya mendiang Prof. Khoo Kay Kim mesra dengan para pelajar. Beliau sedia menjawab pertanyaan pelajar di bilik pensyarah. Saya melihat pensyarah ketika di UK sangat mesra pelajar. Semasa belajar di sana, para pensyarah menyampaikan ilmu, dan para pelajar akan membuat bacaan kendiri. Di Malaysia, saya rasa bosan dengan pembacaan, tetapi di sana ia membuka minda saya. I like the knowledge for the sake of the knowledge itself. Saya mula membuka pemikiran terhadap pelbagai cabang ilmu, saya semakin rasa ingin tahu, dan saya terlibat dalam pelbagai aktiviti. Semasa itu, terdapat kumpulan Marxist yang mana di dalamnya terdapat pecahan aliran yang saling mendakwa mereka lebih tulen berbanding yang lain. Pelajar-pelajar Malaysia di sana juga ramai dan mereka berada lama di UK. Mereka cakna terhadap isu-isu politik seluruh dunia termasuklah Malaysia. Pada 1970-an, semasa saya di sana, gerakan liberalisasi wanita sangat kuat di England, dengan adanya feminis seperti Germaine Greer dan sebagainya. Sama juga keadaannya seperti di Amerika Syarikat. Namun, feminis radikal masih belum bermula pada masa itu. Ia lebih cenderung terhadap feminisme liberal yang mempersoalkan dominasi lelaki dalam sistem yang bertujuan mereformasikannya—bukan seperti feminis radikal. Saya turut melihat adanya feminis sosialis dan feminis Marxist. Feminis liberal hanya ingin reformasi terhadap sistem, baik sistem kapitalisme sekalipun. Perkara sama berlaku di Malaysia kerana mereka ingin reformasi sistem. Mereka tidak mempersoal patriarki, tetapi di England gerakan feminisme telah mempersoalkan sistem patriarki. Mereka juga menyokong Black movement di Amerika Syarikat. Angela Davis pernah hadir ke London memberikan ceramah. Gerakan feminis radikal bermula pada 1980-an. Ia memilih untuk tidak bekerjasama dengan lelaki dan menyingkirkan mereka, serta menggulingkan sistem. Di sana, saya telah mengetahui aliran-aliran tersebut dan perbezaannya.

NARATIF MALAYSIA: Apa yang jelas ialah keadaan di sana lebih terkehadapan berbanding di Malaysia, seperti mana gerakan feminisme yang dijelaskan oleh Dr. Pada pandangan Dr., apakah pelaksanaan AUKU itu menyumbang atau bagaimana?

ROHANA ARIFFIN: Selain kongkongan yang saudara sebutkan itu, itu juga betul kerana AUKU sudah dilaksanakan di Malaysia. Aktivis-aktivis yang aktif di sana ada yang pulang ke Malaysia dan ada juga yang terus tinggal di sana. Aktivis yang pulang ke Malaysia perlu mencari kerja kerana di England mereka ialah pelajar. Apabila mula bekerja, mereka sudah tiada masa untuk aktivisme politik. Itu bagi sesetengah individu. Sesetengah individu yang terlibat dalam universiti, khususnya sosialis, tidak mahu bekerjasama dengan sosialis di Malaysia. Jadi, mereka mula memburuk-burukkan Usman Awang yang sebenarnya progresif di Malaysia. Terdapat ketidaksefahaman antara mereka yang pulang dari luar negara dan mereka yang melakukan kerja-kerja dengan masyarakat di sini. Itu menjadi salah satu faktor kerana tiada kerjasama antara kumpulan-kumpulan sosialis di Malaysia. Mereka tidak secara terang-terangan aktif dalam politik, tetapi menyumbang dana kepada kedai buku dan gerakan mahasiswa yang memerlukan secara rahsia kerana kesedaran itu masih ada. Mereka cuba mempengaruhi pemikiran dan penulisan tetapi tidak lagi secara terbuka. Saya tahu ada ahli-ahli kumpulan tertentu yang tidak aktif secara terbuka.

NARATIF MALAYSIA: Kita ada AUKU iaitu undang-undang. Bagaimanakah pula dengan peranan budaya intelektual dan budaya aktivisme terhadap penglibatan ahli akademik dalam aktivitisme politik dan sebagainya?

ROHANA ARIFFIN: Tidak ramai ahli akademik mahu terlibat dalam aktivisme di luar ‘menara gading’. Ahli-ahli akademik selalunya bercakap mengenai teori-teori, tetapi saya rasa sangsi bagaimana mereka menjana pengetahuan teoritikal tanpa terlibat sama di lapangan.
Di sini, perlu difahami universiti mula dikorporatkan. Tahun demi tahun, pihak kementerian mengurangkan peruntukan untuk universiti. Maka, universiti perlu mencari dana sendiri. Dana ini kemudiannya disumbangkan oleh pihak korporat. Mereka mula memasuki universiti dan mengkehendaki penyelidikan dilaksanakan untuk mereka. Sejak tahun 2000 dan selanjutnya, kebanyakan penyelidikan dan tesis mestilah bersifat kebolehpasaran. Permintaan sedemikian mempengaruhi orientasi penyelidikan universiti yang bersifat kebolehpasaran, bahkan mempengaruhi cara fikir para pelajar juga. Penyelidikan di universiti mula mengambil berat nilai tambah berorientasikan kehendak industri dan kebolehpasaran.

Pemerhatian saya, generasi lama akademik seperti Cheah Boon Keng masih menulis seperti Red Star Over Malaya tentang gerakan komunisme. Bagi generasi baharu yang lebih muda, mereka lebih cenderung memikirkan kenaikan pangkat; artikel apa yang harus ditulis dan boleh pasar; dari mana dana boleh didapatkan dan sebagainya. Ia mengubah persekitaran universiti itu sendiri.

PERANAN AHLI AKADEMIK DALAM MASYARAKAT

NARATIF MALAYSIA: Apabila bercakap dengan Dr. Rohana sendiri dan para akademik yang seangkatan, terdapat persepsi bahawa ahli akademik turut aktif dalam dunia aktivisme. Adakah ini memang budaya pada masa itu dibandingkan dengan budaya ahli akademik pada masa sekarang, sekurang-kurangnya pada awal dekad 2000-an?

ROHANA ARIFFIN: Saya berpandangan majoriti ahli akademik tidak terlibat dengan kerja-kerja di lapangan atau akar umbi. Mereka hanya melibatkan diri dalam penerbitan artikel dalam jurnal-jurnal antarabangsa, seminar dan persidangan akademik. Saya rasa kira-kira 20 peratus daripada akademik yang terlibat dalam aktivisme, seperti juga di UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka tidak terlibat dengan kerja akar umbi kerana ia tidak memberi nilai kepada kelayakan seseorang. Jika anda meletakkan kerja-kerja ini untuk kenaikan pangkat, ia tidak akan membantu. Sebaliknya, jika akademik menulis artikel, terlibat dalam seminar, persidangan dan lain-lain, itu akan membantu kenaikan pangkat dan gaji. Jadi, bagi saya, hanya minoriti sahaja yang terlibat dengan aktivisme.

NARATIF MALAYSIA: Wujud pandangan bahawa ahli akademik mutakhir ini tidak terlibat dalam proses pembuatan dasar. Malah, itu apa yang kami rasakan di universiti. Apakah pandangan Dr. mengenai peranan dan tanggungjawab ahli akademik terhadap dasar negara? Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh generasi muda di sebalik kekangan di universiti seperti pengkorporatan dan sebagainya?

ROHANA ARIFFIN: Selepas kemenangan kes kami, terdapat organisasi ditubuhkan iaitu Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) terdiri daripada ahli akademik antaranya, Prof. Wan Abd Manan, Dr. Andrew Aeria, dan Prof. Datuk Dr. Omar Shawkataly. Mereka semua ialah tenaga akademik yang progresif. Apabila terdapat isu-isu, mereka akan memberikan pandangan. Semasa Dr. Maszlee Malik ialah Menteri Pendidikan, beliau mengundang Dr. Andrew Aeria untuk memberikan pandangan. Pandangan saya, ia bergantung kepada siapa Menteri pada satu-satu masa. Ramai pensyarah-pensyarah yang agak radikal dalam GERAK, mereka mengambil berat mengenai akademik, bukan sahaja di universiti tetapi sistem pendidikan. Kumpulan ini pada saya konsisten memberikan maklum balas dalam forum, dan majalah.

Saya berpandangan peranan sedemikian boleh dimainkan oleh ahli akademik kini. Selain itu, saya melihat kepentingan media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana masyarakat hari ini kurang membaca buku. Jika anda menulis dengan artikel berjela-jela, orang tidak akan membaca. Itu masalahnya. Masalah mereka yang kita perlu hadapi. Jika anda menulis lebih daripada lima halaman, siapakah yang akan membaca? Bagaimana cara untuk menyampaikan mesej. Mungkin itu yang perlu generasi akademik hari perlu fikirkan. Seperti GERAK, mereka tetap bertahan hingga kini. Ahli akademik kini mungkin boleh membuat jaringan dengan kumpulan seperti ini atau mendaftar sebagai ahli. Berikan pendapat secara berterusan dalam saluran seperti akhbar, laman web atau Youtube. Kalaupun bukan seribu orang membacanya, 30 orang pembaca sudah cukup baik. Itu pandangan saya.

NARATIF MALAYSIA: Sebelum ini, terdapat seorang ahli akademik yang agak lantang ditanyakan sama ada AUKU menjadi masalah terhadap aktivisme. Beliau menjawab tidak. Adakah Dr. Rohana melihat AUKU benar-benar mengekang kebebasan atau kita hanya ‘play the game’. Selain itu, adakah AUKU sebenarnya ‘dikambing hitamkan’ untuk kita tidak berbuat apa-apa, sedangkan ia sudah pernah dipinda dan memberikan kebenaran untuk pelajar berpolitik?

ROHANA ARIFFIN: AUKU sudahpun dipinda hingga membenarkan pelajar terlibat dalam parti politik. Setelah berpuluh tahun terkongkong, ia merupakan suatu bentuk keterbukaan dan ia harus dimanfaatkan. Terdapat ahli akademik yang vokal dan kritikal tetapi tidak diambil tindakan. Kes saya Rohana Ariffin & Anor v USM [1989] 1 MLJ 487 merupakan kes yang agak unik pada pandangan saya kerana tindakan dikenakan terhadap ahli akademik. Saya tidak pasti sama ada kes-kes lain sepertinya. Di universiti, anda harus memanfaatkan peluang yang ada untuk menyatakan dapatan di lapangan. Mereka tidak boleh menyekat anda kerana ia pandangan berdasarkan penyelidikan.

*Wawancara ini adalah di bawah projek penyelidikan MAL 169 – After 50 Years of AUKU: The Evolving Roles and Impacts of AUKU on Academic Freedom in Malaysia oleh Naratif Malaysia yang merupakan sebahagian daripada Projek Kebebasan Akademik, dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (MARI), Higher Education Malaysia Association (HEYA), Cent-GPS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

*Wawancara ini pertama kali diterbitkan di laman web Naratif Malaysia dan diterbitkan dengan izin oleh sidang redaksi. Pautan asal boleh diakses di sini.