Diadakan buat tahun keempat berturut-turut sejak 2019, Anugerah Wartawan Muda Said Zahari ini yang dianjurkan oleh Pusat Sejarah Rakyat serta waris keluarga Said Zahari ini melihat kepada karya yang ditulis oleh para wartawan sepanjang tahun 2022.

Seramai 14 wartawan (5 wanita dan 9 lelaki) melibatkan 22 artikel (4 dalam BM, 4 dalam Mandarin & 14 dalam BI) menghantar pencalonan bagi Anugerah Wartawan Muda Said Zahari. Isu yang disentuh oleh semua wartawan yang mencalonkan diri cukup rencam sekaligus menampakkan corak dan tema penulisan yang matang.

Soal krisis makanan, migrasi, isu Orang Asli dan Orang Asal di Borneo, hak tanah Adat dan peneroka bandar, krisis dan pencemaran ekologi, politik mahasiswa serta kebudayaan disentuh dengan kemas oleh kesemua calon dalam memperbesar suara rakyat terbanyak di media arus perdana mahupun mandiri. Kami di pihak penjurian mengalami waktu yang sukar bagi menentukan pemenang kerana tema serta gaya penulisan cukup baik yang dikarang semua wartawan. Syabas.

Pertama sekali, ingin dimaklumkan, kami di di pihak penjurian melibatkan Ahli Lembaga Pengarah serta Koordinator Program PSR iaitu Dr Syed Husin Ali (ahli akademik dan politik), Dr. Por Heong Hong (ahli akademik) serta Zikri Rahman (Koordinator Program PSR & pekerja budaya), Pihak juri bersepakat menyenaraikan pendek nama tiga wartawan namun hanya akan mengumumkan hanya seorang pemenang pada hari ini nanti.

Untuk makluman semua, di tangan tiga wartawan yang disenarai pendek ini, kesemua isu yang dikemukakan cukup penting khususnya dalam melihat pelbagai bentuk krisis yang melanda masyarakat dan negara kita sejak setahun yang lalu. Covid masih belum meninggalkan kita sepenuhnya dan pilihanraya umum yang selesai pada tahun lalu juga perlu ditanggapi dengan halus.

Oleh itu, penulisan menarik serta mendalam oleh Liani MK misalannya menangkap kerumitan ahli keluarga yang terjejas akibat pengawalan pergerakan sewaktu wabak Covid-19. Selain daripada itu, karya beliau yang berjudul “Amid Tourism Push, Malaysia Keeps Binational Families Apart” juga merangkumi persoalan kuasa yang mengakibatkan kesusahan dan penderitaan keluarga dwi-kewarganegaraan. Sulaman pelbagai isu di dalam satu artikel – soal imigresen, kekeluargaan, perkauman – dengan mendasarkan kepada idea ‘border politics’ cukup penting dalam merakam apa yang sudah dan bakal berlaku dalam keadaan kita bertembung krisis kesihatan ini.

Manakala, salah satu artikel yang dikongsikan oleh calon kedua, Alena Nadia, wartawan muda dari MalaysiaKini ini dalam memperkatakan tentang soal hak adat serta kepersilangan tentang isu pendidikan dan budaya masyarakat Orang Asli cukup penting dan menjadi perhatian juri iaitu “No end to legal woes for Orang Asli”. Ia bukan sekadar soal tanah adat semata-mata, tetapi juga soal dinamika kekuasaan yang berlaku melibatkan beberapa komuniti orang Asli yang berhadapan isu sama di seluruh Malaysia. Dua lagi artikelnya, tentang akses kepada perundangan sekaligus pengalaman salah seorang tahanan politik, iaitu Saudara Chong yang juga merupakan pendiri kedai buku, Gerakbudaya.

Calon ketiga dan terakhir bagi Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022, Low Choon Chyuan merupakan seorang wartawan bersama Malaysiakini sejak tahun 2020. Sepanjang penglibatannya sebagai wartawan, beliau banyak menulis tentang isu ekologi dan alam sekitar. Tiga artikelnya tentang isu Bukit Lagong, krisis makanan serta penarahan hutan dicalonkan bagi anugerah tahun ini. Saudara Choon Chyuan juga tidaklah asing untuk Anugerah Wartawan Muda Said Zahari kerana beliau turut pernah disenarai pendek bagi anugerah tahun lalu.

Melihat kepada ketiga-tiga calon yang disenarai pendek, kami di pihak penjurian mengalami kesukaran memilih pemenang kerana markah yang lebih kurang sama diterima setiap calon. Selain itu, kualiti dalam penulisan, melibatkan bentuk kewartawanan penyiasatan, membumi dengan subjek dan sejarah lisan ini cukup membekas di dalam penulisan yang ada kali ini.

Namun, setelah berbincang dan mengemukakan pendapat masing-masing dan menyenarai pendek ketiga-tiga mereka menerusi artikel, para juri dengan sukacitanya sepakat untuk mengumumkan pemenang Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022, adalah Saudari Liani MK, dengan tajuk karangannya, “Amid Tourism Push, Malaysia Keeps Binational Families Apart”. Tahniah dan syabas!

Akhirnya, saya mengucapkan ribuah terima kasih kepada waris keluarga Said Zahari yang mendukung usaha ini serta juga kepada semua yang menjayakan majlis ini.

Petaling Jaya

18 Mac 2023