SALUT UNTUK SAID ZAHARI
18 Mei 1928 — 12 April 2016

Hari ini, seorang aktivis dan tokoh bidang persuratkhabaran tanah air dan tokoh sejarah rakyat telah pergi meninggalkan kita. Said Zahari telah kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 tengahari tadi di rumah beliau pada usia 88 tahun.

Izinkan kami berkongsi sebuah sajak yang ditulis oleh Sasterawan Negara Usman Awang yang ditujukan kepada Said Zahari semasa beliau sedang ditahan tanpa bicara pada tahun 1973.

——————————————-

SALUT UNTUK SAID ZAHARI
oleh Usman Awang (1973)

Berapa banyakkah darah mengalir
Tulang yang patah tak terhitung
Bertaburan di lantai bisu ini
di Pulau Singapura
Di mana-mana di bumi ini
Ribuan penjara dan
Jutaan si Berani.

Atas nama ‘keselamatan umum’
Penuhlah penjara ngeri melindungi
Keselamatan mereka segelintir jumlahnya;
Atas nama ‘undang-undang’
Rakyat dirompak dan dicandui
Sambil meneriakkan ‘demokrasi’.

Di mana-mana di bumi ini
Si penjenayahlah yang memulakan perang
Penjara dibinanya untuk mengancam;
Tapi di mana-mana di bumi ini
Sekalian rakyat bersuara bertindak
tiada tangan menahan ombak
Lojika rakyat lojika sejarah manusia

Saudara
Telah tiga ribu hari rebah
Rebah di kaki pemerintah yang goyah
Keyakinan dan keberanian mengheretmu lagi
Ribuan hari berdiri di penjara ngeri.
Suaramu dari penjara Singapura:
‘Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi’

Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani!

——————————————-

“Said Zahari – warganegara dan patriot, wartawan, nasionalis, sosialis dan akhirnya revolusioner. Sesiapa yang mengenal beliau merasa beruntung, sesiapa yang memperkecilkannya harus memeriksa diri, dan mereka yang menentang perjuangannya pasti akan gentar melihat bagaimana perjuangan itu mengubah manusia biasa menjadi suatu tenaga yang kebal dan tidak boleh dikalahkan.” — Dr. M.K. Rajakumar