Siri Syarahan Umum Pusat Sejarah Rakyat yang diadakan buat kali keenam ini disampaikan oleh Saudara Syed Shahir Syed Mohamud, mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (2004 – 2010) yang juga merupakan aktivis veteran gerakan kesatuan sekerja dengan syarahannya yang berjudul “Sorotan 100 Tahun Gerakan Sekerja di Malaya(sia): Cabaran, Halangan & Masa Hadapan”.

Tarikh / Hari: 8 Mei 2024 / Rabu
Waktu: 2:00 Petang
Lokasi: Mini Auditorium IIUM, Gombak
Pautan video:

 

Abstrak Syarahan:

Bergulat lama selaku penggerak utama di lapangan politik serta kesatuan sekerja, Syed Shahir akan menyoroti awal mula penglibatannya serta arus yang mengombak dan mereda dalam sejarah pergerakan pekerja tanah air. Dalam arus 100 tahun gerakan sekerja bermula dari ombak pertama radikalisme kesatuan buruh (seawal 1920-an) sehinggalah gelojak kemerdekaan negara ke abad-21, syarahan ini akan melihat peranan kaum pekerja dalam keterlibatan demokrasi di sebuah masyarakat yang mula menumbuh.

Seperti apa pada tahun 70-an dan 80-an, wujudnya dinamika kesatuan sekerja yang rencam berhubungan dengan kaum pemodal dan syarikat yang bukan sahaja dari dalam, malahan luar negara berlaku dek kerana arus neo-liberal? Apakah kesan daripada perubahan perundangan serta penindasan struktural yang membekas kepada gerakan sekerja?

Di arus kemudiannya pada tahun 2000-an, di mana wujudnya latar serta demografi pekerja yang semakin deras berubah, bagaimanakah peranan kesatuan sekerja, khususnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam melihat perubahan kelas pekerja kepada apa yang boleh dikatakan sebagai precariat, melibatkan pekerja gig dan tidak formal ketika ini? Seperti apa cabaran yang dihadapi oleh gerakan kesatuan sekerja hari ini sebagai sebuah gerakan politik yang ampuh?

Biografi Pensyarah:

Syed Shahir Syed Mohamud merupakan seorang veteran dalam pergerakan kesatuan sekerja serta politik sejak awal 1970an. Sejak 1975, beliau mula berkhidmat di Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan dan Sekutu di Shah Alam. Pada tahun sebelumnya iaitu 1974, beliau juga sudah mula bertanding pilihanraya sedari umur 22 tahun di bawah tiket Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Beliau turut memikul jawatan selaku Ahli Lembaga Penasihat Pekerja Kebangsaan, Ahli Lembaga MTEN, Ahli Lembaga KWSP serta anggota penuh Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, antara lainnya. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dari tahun 2004 – 2010, sebahagian daripada Badan pentadbir (Governing body) di ILO pada tahun 2005 – 2010 serta Presiden Majlis Kesatuan-Kesatuan Sekerja ASEA (ATUC).

Biografi Pemudahcara Syarahan:

Dr Mohd Helmi Bin Mohd Sobri, Pembantu Profesor, Kampus UIA Gombak, Abdulhamid Abusulayman Kulliyyah Of Islamic Revealed Knowledge And Human Sciences.

Anjuran:

Syarahan ini dianjurkan dengan kerjasama Pusat Sejarah Rakyat, History & Civilization Department, Abdulhamid Abusulayman Kulliyyah Of Islamic Revealed Knowledge And Human Sciences serta Histforium.

Rakaman asal syarahan merupakan dari Instagram Histforium.