Mukmin Nantang, anak jati Tawau yang menyusun gerak kerja sedari sekolah menengah lagi. Merangkumi pengalaman aktivismenya bersama warga tanpa negara menerusi Borneo Komrad dalam membuka ruang pendidikan di beberapa sekolah alternatif seluruh Sabah, beliau memeta awal mula kesedaran politiknya melalui wawancaranya ini. Dari pengalaman berorganisasi bersama teman-teman persekolahan sehinggalah menancap beberapa protes yang dihadirinya, Mukmin menyediakan kritik yang tajam kepada gerakan sivil serta ruang demokrasi yang mahu dibina bersama. Lewat wawancara ini, kita melihat seperti apa bentuk protes dan bentuk pergerakan yang wujud di peringkat tempatan untuk Malaysia secara keseluruhannya.

Boleh kongsi sedikit tentang latar belakang dan terlibat dengan organisasi apa?

Aku Mukmin Bin Nantang. Aku asal daripada Tawau, Sabah. Aku sekarang ni berumur 29 tahun, merupakan siswazah Universiti Malaysia Sabah. Aku terlibat dalam organisasi mahasiswa yang sebenarnya berkembang daripada Kelab Sastera Mahasiswa, menjadi Suara Mahasiswa dan sekarang ini berkembang lagi menjadi Borneo Komrad. Jadi Borneo Komrad ni banyak membangunkan projek-projek pendidikan alternatif di beberapa daerah Sabah untuk anak-anak stateless.

Boleh kongsi tentang latar belakang keluarga? Adakah Mukmin sendiri membesar dengan keluarga yang memang politikal ataupun bagaimana?

Bapak saya adalah seorang pemandu teksi, pemandu lori dan juga tukanglah. Mak saya menjahit dan mengambil upah-upah masak ataupun buat bisnes kecil-kecilan untuk orang kahwin. Jadi keluarga saya langsung tidak ada perkaitan dengan politik, tidak pernah langsung bercerita dengan politik.

Mungkin saya boleh berkembang terlibat dengan organisasi ini (kerana) waktu kecil saya di rumah, saya ada 10 orang adik-beradik. Saya anak keenam, semua abang-abang di atas, tidak ada kakak. Jadi saya tidak tahu kenapa, saya selalu di rumah dan menonton TV. Dulu mana ada Astro kan di rumah kami, dan TV di rumah kami tu [ada saluran] 1, 2, 3.

Jadi, hampir setiap hari, saya sangat suka tengok awal-awal pagi. Daripada sarapan, saya tengok RTM, lepas tu MHI (Malaysia Hari Ini), lepas tu berita jam 12, jam 1, lepas tu ada Wanita Hari Ini. Hujung minggu ada Melodi, ada Nona, lepas tu sampai berita-berita pukul 8, sampai berita sukan. Saya sangat suka tengok wawancara benda ini sehingga berkembangnya ada internet di rumah, saya melihat protes-protes BERSIH. Jadi di situ saya mula berfikir, oh, ada sesuatu yang berlaku di luar dan saya meneroka benda itu.

Protes BERSIH yang mana?

Protes BERSIH (ketiga) saya rasa. BERSIH yang kereta terbalik itu. Saya di Tingkatan 2 atau Tingkatan 4, sebab saya ada Facebook dan saya tulis di Facebook waktu itu kerja di mana? “Works at Pengasas BERSIH Sabah” macam gitu.

Sebenarnya saya tak tahu pun BERSIH tu apa, tapi saya tulis saya pengasas BERSIH Sabah. Jadi ya lah, walaupun berita di TV bercakap tentang teruknya BERSIH ini, tapi dalam berita-berita itu saya nampak slogan-slogan. Jadi slogan-slogan itu dan apa yang dicakapkan oleh pemerintah, fikiran saya (jadi) terbalik. Jadi saya rasa macam “oh, betul lah ada kawan-kawan saya terlalu miskin” “Betul lah ada jalan raya teruk, kita tiada air ini”. Di situlah mula berkembang.

Itu menarik juga sebab imej pertama yang Mukmin perasan adalah imej kereta terbalik dan protes memang selalu dikaitkan dengan perkara kacau bilau, riuh-rendah dan sebagainya. Bagaimana tanggapan Mukmin sebenarnya pasal protes dan bagaimana ia mempengaruhi Mukmin sebagai seorang yang terlibat dengan gerakan?

Menariknya di Tawau ini, kami ada dipanggil budaya pertempuran. Pertempuran ni adalah pergaduhan antara kampung-kampung. Jadi nama kami di kampung adalah Budak Pondok Pisang. Budak Pondok Pisang ini akan bergaduh dengan Budak Amuk, Budak Ice Box, Budak Pasar. Jadi kami akan mempersiapkan senjata api kami yang kami panggil pitik (flying feather) ataupun panah ikat. Pitik ni dibuat daripada paku yang diketup. Jadi semangat pemberontakan itu, saya belajar dari situ. Ada musuh, ada ketidakadilan. [Tapi] istilahnya bukan ketidakadilan ya. Contohnya, ada kawan pergi kampung, kawan tu diugut. Jadi kita rasa memberontak, kita pi serang tu kampung. Jadi mungkinlah di situ, kawan-kawan tu bila kita bercerita tentang contohnya kan, tak sepatutnya dia orang pukul kawan kita, jadi semangat untuk mempertahankan kawan, mempertahankan kampung itu mungkinlah dari situ.

Bila saya nampak pasal terbalik-terbalik kereta ni, mungkin (hasil) pendidikan di jalanan, di kampung itu menyebabkan saya memang terasa tidak mempercayai secara terus berita itu. Itulah, saya tidak tahu [nak cakap] macam mana (tapi) bila pemberita tu mengutuk orang BERSIH, otak saya (faham) terbalik. Saya seronok melihat orang pijak-pijak kereta polis, walaupun itu gambaran yang burukkan. Dan berkembangnya internet, saya dapat baca oh, ini perkara yang dituntut (Bersih).

Menarik juga bila Mukmin beritahu apa yang dipropagandakan itu bila kembali kepada diri sendiri, macam terbalik pemahamannya. Tetapi pada waktu yang sama, kita dah ada macam kebanjiran maklumat dan boleh akses info-info berkaitan dengan protes. Bagaimana waktu itu di Tawau sendiri?

Saya tidak tahu mana satu duluan. Saya rasa BERSIH selepas PRU 2008 mungkin ya. Sebab saya rasa Tingkatan 2 ke Tingkatan 4 tu, saya mula sudah bercerita tentang tangki biru. Oh ni UMNO, kalau mahu pilihan raya, baru mahu bagi tangki air. Kita bukan perlukan tangki air, kita perlukan air. Tapi bila di kelas, kita ada parti-parti kita sokongkan. Jadi macam “oh kami pembangkang ni”.

Lepas tu, saya rasa didorong jugak oleh cikgu yang berfahaman parti PAS. Jadi aku waktu kecik rasa ini ceramah agama, pergilah tengok. Tapi dalam agama tu ada unsur-unsur politiknya itu. Jadi kita rasa ketidakadilan ketika itulah. Jadi waktu di sekolah, aku terlibat dengan organisasi. Bila aku rasa ada sesuatu, bacaanku semakin besar, aku rasa aku perlu salurkan perasaanku ni, jadi aku sangat suka berorganisasi.

Aku bangunkan organisasi kelab olahraga. Ada cikgulah yang mendukung. Sebenarnya aku anak murid yang nakal, aku (pernah) dibuang sekolah. Tapi bila aku ikut kelab olahraga, aku jadi Presiden kelab olahraga, aku jadi Pembimbing Rakan Sebaya, aku rasa benda itu kena dengan aku. Ada sesuatu aku boleh sampaikan. Sehinggalah Tingkatan 6, aku jumpa seorang kawan nama Rahman Imuda. (Waktu) Tingkatan 6, itu lebih kritis.

Aku bertemu dengan Shahnon Ahmad punya buku SHIT, jadi kita semakin bergolak, berjumpa lagi dengan kawan. Yang Rahman pun menulis di profil facebooknya dia bekerja di di BERSIH, sedangkan kami tidak pernah turun perhimpunan BERSIH pun. Jadi Tingkatan 6, STPM kami berjumpa, mula membangun organisasi Geng Street Dakwah. Jadi setiap hari kami bercerita tentang mengutuk pemerintah, tentang keadilan dan sebagainya.

Jadi aku punya landasan, aku punya diri sebelum masuk universiti. Aku sudah tahu universiti tu apa, mahasiswa tu apa, apa perlu dibuat nanti di universiti, ada Pro-Mahasiswa, ada Aspirasi (Mahasiswa), ada perlawanan politiknya dan sebagainya. Masuklah kita di dalam universiti.

Tapi bila aku masuk universiti, aku jadi kecewa. Aku punya pemikiran tidak ditampung. Bila aku nampak pilihan raya pertama di UMS, orang-orang bercerita tentang bas, cerita tentang wifi. Bukan tidak penting, tapi saya terasa macam ini sahajakah? Mahasiswa yang acah-acah mahu jadi macam YB ni kan (suka) bermanifesto, jadi di situ aku langsung kecewalah.

Waktu 2015, ada BERSIH 4. Jadi ini platform yang tepat. BERSIH 4, 2015, saya ajak kawan-kawan untuk pergi tapi semua takutlah. Aku ada chat page BERSIH, tapi tak ada orang balas. Aku tak tahu siapa mahasiswa yang terlibat sebab aku budak baru kan. Jadi aku pergi sendiri.

Waktu itu di mana?

Di Kota Kinabalu. Di pantai di Tanjung Lipat. Diorang berarak sampai ke Tanjung Lipat tu di pantai, berkumpul di sana dan aku pergi sana sendiri.

Apa yang membuatkan jadi berani untuk turun keluar protes BERSIH?

Bila aku pergi universiti, perasaan aku tu terlalu bergolak. Aku sangat marah kenapa pimpinan mahasiswa Pro-Mahasiswa, Aspirasi dengan Arus Mahasiswa waktu itu tidak menggambarkan perasaan dan pemikiranku. Aku jadi sangat marah sebab inikah hakikat sebenarnya politik ini? Aku memang terlalu mahu buat sesuatu sehingga aku mahu buat kelab pemikir di universiti.

Di situlah mulanya kelab, dari kelab memikir tu susah mau daftar, aku ambil satu kelab namanya Kelab Sastera Mahasiswa. Jadi di-reform menjadi kelab seni untuk masyarakat macam gitu.

Jadi bila aku mahu pergi BERSIH itu sebenarnya, aku sedikit pun tidak rasa ketakutan. Kami waktu tu berkampung, kami (pelajar) teater kan. Lepas tu, kami berkampung di rumah pensyarah aku. Jadi aku sudah siap, aku sudah susun aku punya barang sebab waktu tu cuti semester kalau tidak silap.

Jadi aku bagi tahu kawanku, Haziq namanya. Aku cakap aku mahu pergi demo ni, BERSIH. Kamu mahu ikut ka? Okay tak apalah (kalau tidak ikut), ini aku sudah susun pakaianku. Kalau aku kena tangkap nanti, bolehkah tolong bawakan pergi ke asrama. Aku rasa sebegitu mudahnya.

Lepas tu, aku pergi dan aku memang membayangkan aku kena tangkap. Tapi aku kecewalah tidak kena tangkap waktu tu kan. Jadi aku tak ada rasa apa-apa, bahkan bila aku sampai di BERSIH itu sendiri, jujurnya, aku tidak rasa semangat pemberontakan tu. BERSIH 4 tidak menampung perasaanku langsung. Terlalu santai, ada ketawa-ketawa, nyanyi-nyanyi, jadi ya. Aku rasa itulah perasaanku.

Adakah itu protes pertama yang kau pergi?

(Kalau ikut) makna protes penentangan ni waktu 2014. Fahmi Zainol datang UMS. Waktu tu rasanya dia bawak Anwar (Ibrahim) ke sini yang (peristiwa) runtuh pagar tu, lepas tu sambung ke Muqit (Muhammad), sambung pergi UMS. Waktu itu pun (pada) istilahnya aku tidak tahu itu protes atau tidak. Dia sampai di pagar, kita turunlah (berjumpa).

Waktu tu mahasiswa takut tau untuk turun, tapi aku pergi. Fahmi Zainol di luar (pagar UMS), aku tak kenal pun dia, aku tahu budak UM ada mau datang. Aku di dalam (pagar universiti), dia dekat luar. Jadi itu [protes] yang pertama mungkin, baru BERSIH. Tapi kalau ikutkan betul-betul protes, BERSIH lah.

Seperti yang kau kongsi tadi tu, kau tak rasa pemberontakan dan bagi kau, protes itu perlu ada jiwa semangat tu. Protes mana yang terlibat selepas-selepas tu yang betul-betul rasa ada jiwa?

Okay, lepas itu ada demo Tangkap MO1. Jadi kalau ikutkan dia, Anis Syafiqah waktu itu lead untuk Semenanjung, aku lead untuk Sabah.

Tahun?

2016, rasanya. Waktu itu aku rasalah, ada aksi mahasiswa panjat pagar di Semenanjung. Jadi, kita tidak terlalu banyak boleh buat sesuatu. Adalah perbincangan-perbincangan lepas tu. Secara jujurnya waktu kita berbincang itu, kita kelompok mahasiswa walaupun aku yang lead, tapi kelompok-kelompok anak muda di luar parti politik ini yang dulu dari aktivis mahasiswa juga, dia orang ini pun menyusun juga. Saya menyusun, dia orang pun menyusun. Tapi ya lah, abang-abang senior ini, dia orang kan ada pengalaman banyak dengan peguam, dengan [protes].

Aku, secara jujurnya, langsung ndak mahu fikir pun. Sampai tahap dia orang mahu pergi mintak kebenaran untuk demo tu pun, aku tidak mahu. Tapi ya lah, dia orang pun ramaikan mahu buat. Okay tak apa, pergilah. Tapi walaupun aku tidak mengiakan sebenarnya benda tu, (tapi) waktu demo Tangkap MO1 tu, aku rasa ada sedikit perasaan. Bertembung dengan polis, bertembung dengan FRU, tapi dihalang, tapi aku mau maju, maju, maju, maju, tapi kawan-kawan peguam, (dan) parti politik ni tarik, tarik, tarik.

Di situ aku pun mula geram. Sampai kami disuruh pulang, dihalau. Aku mau maju, kawan aku pulak (kata) okay, kita cari tempat lain sampai aku panjat tiang DBKK tu secara spontan. Kawanku pun dua orang panjat, mahasiswa (pun) panjat. Satu mahasiswa UniMAP dengan Azwan (Irwan), cikgu (Sekolah Alternatif) Tawau panjat jugak, terus aku baca puisi.

Puisi apa?

Puisi rasanya Hai Warga Buta mungkin, puisi yang aku tulis. Jadi, itu yang aku rasa ada sedikit [semangat] sebab mungkin separuh daripada demonstrasi tu, aku yang lead kan.

Tapi yang paling puas hati sebenarnya, sememangnya demo Pandang ke Sabah (2018). Itu memang disusun oleh kami sepenuhnya dengan kawan-kawan kolektif kami lah. Jadi itu aku lead sepenuhnya dengan mahasiswa. Kami memang rusuh betul-betul. Walaupun tidak ada benda yang pecah dan sebagainya, tetapi pertembungan dengan polis tu. Polis pukul, kita maju, maju, maju. Ada tangkapan, ada gari dan kita ditangkaplah. Jadi yang itu kita rasa. Baju kawan koyak, digari dan itu rasanya simbolik lebih besarlah, kita susun.

Aku rasa kalau bagi kami, kami sangat puas hati. Matlamat dia sampai, orang tahu isu ni. Boleh jadi, sedikit sebanyak, benda itu memberi impak dengan Borneo Komrad yang ada sekarang. Cahaya (Society) yang sekarang, gerakan stateless yang sekarang di Sabah. Dan yang terakhir, protes PKPD COVID (2021) itu pun antara yang puas hatilah.

Apa perbezaan selaku peserta protes dan kemudian menjadi penganjur pada pengalaman Mukmin?

Secara jujurnya aku tidak tahu kenapa selepas BERSIH 3, demo-demo ini menjadi terlalu baik. Adakah selepas benda itu dilonggarkan, mahasiswa pun ada akta melonggarkan (penglibatan) mahasiswa dan ada Akta Perhimpunan Aman 2012 kan, sebab itukah menyebabkan kita jadi lemau? Aku tidak percaya perlu mintak kebenaran. Berkumpul, berpartisipasi itu sebenarnya boleh di negara yang mengamalkan demokrasi, kan? Jadi bila kita terpaksa susun, perlu ada lawyer bermakna negara ini tidak demokrasi dan bagi aku, kenapa mau fikir pasal teknikal-teknikal ni?

Kalaupun ditangkap, ditangkap sajalah. Sebab bagi aku, kadang-kadang dia bukan tentang demonstrasi itu, [tetapi] tentang mesej tu sampai ke tidak. Kalau ditangkap baru mesej tu sampai, biar ditangkap jelah. Begitu ja mudahnya berfikir. Dan bila kita tahu kalau ditangkap pun direman, dan [kemudian] dilepaskan. Macam begitulah kita punya bayangan.

Jadi, bila demo-demo BERSIH ataupun sebenarnya yang didalangi oleh orang-orang politik ini, mereka semua play safe. Mereka tidak rusuh, tidak ada semangat rakyat, memberi tanda, memberi simbolik tu tidak ada. Kita kalau boleh pecah, kalau boleh conteng, kalau boleh rusuh, (biar) bertembunglah. Itukan simboliknya. Ya, kalau kita betul-betul cakap penindasan, penindasanlah. Dihancurkanlah penindasan itu kan? Tapi kalau untuk yang ini, untuk dia orang tidak berlakulah.

Jadi saya menganggap demo BERSIH 4 dan BERSIH 5 demo-demo yang dianjurkan ini kebanyakan (macam) hari keluargalah. Polis cakap “oh, kena berkumpul di padang ini” (dan ikut) sahaja. Sedangkan protes tu protes, ada pertembunganlah. Kenapa (perlu) ada laluan [khas], kita kena tutup jalanlah kan? Begitulah istilahnyakan? Kena ada pertembungan. Kalau itu (sahaja), jadi perarakan ataupun hari keluarga lah.

Bila ada kawan yang menyarankan perlu hantar notis, perlu relax sikit, ikut kata polis, bagaimana kau sebagai seorang individu di dalam gerakan ataupun yang sendiri menggerakkan menanggapi momen itu? Bagaimana proses dialog tu berlaku bila kita bersetuju atau tidak dengannya?

Aku rasa satu kepalsuan lah. Itu yang aku tidak boleh bohong diriku. Aku tidak bersetuju dan kalau aku bersetuju, aku rasa aku hipokrit dalam aku punya perjuangan. Cuma itulah, aku jenisnya menghormati. Aku bukan jenis orang macam buat kepala. Sekurang-kurangnya ada, cukuplah. Daripada tak ada protes, okaylah ada protes yang dianggap protes. Aku jenis macam begitu je. Jadi di mana aku boleh celah ambil sikit, aku ambillah. Dan aku tidak mahu juga dilihat sebagai orang yang potong stim, terlalu tidak semuanya ataupun orang-orang yang terlalu mahu overshadow kan.

Satu lagi aku rasa lah waktu itu, bila aku fikir-fikir balik, mungkin jugak aku mahu belajar. Ndak apa, ini bukan demo aku yang sepenuhnya, kamu belajar apa prosesnya. Jadi bila aku rasa pernah pergi hantar sendiri di balai polis notis, pengalaman itu nanti menguatkan aku punya firasat bahawa benda ni tak penting. Jadi, aku perlukan ilmu pengalaman itu sebagai aku punya testimoni mungkin. Aku ikut tapi selepas-selepas itu, memang aku akan tidak peduli dengan ikut cara.

Kau terlibat dengan protes Tangkap MO1 dan juga Pandang ke Sabah, di mana satunya digerakkan mahasiswa dan lagi satu ialah isu yang lebih lokal. Bagaimana kau melihat perbezaan dalam taktik itu?

Daripada taktik, strategi, propaganda, aku lihat begini, aku jujur sekarang, aku lihat protes-protes sebelum ini yang diangkat kononnya isu nasional ini adalah didalangi oleh orang-orang (parti) politik sahaja. Aku minta maaf walaupun [berlaku pada] zamanku, aku rasa mahasiswa cuma jadi anjingnya sahaja. Bukan itu praktik orientasi mahasiswa sebenarnya. Dan memang betul pun ada kawan-kawan anak muda parti politik ini yang menyusun, dilantiknyalah siapa-siapa jadi sosok untuk bawa isu ini kan. Jadi, aku ndak pernah rasa isu, contohlah isu waktu COVID (protes) Lawan itu.

Perasaan aku, demo itu ada perlu. Tapi Muhyiddin turun, sebenarnya kita mahu seseorang kan naik? Macam gitu lah. Contoh, aku berdebat dengan kawan-kawan anak muda waktu itu ketika tiba-tiba ada Langkah Sheraton kan. Lepas tu, kita mau marah-marah. Kenapa mau marah? Ini kerajaan yang move ni. Sekarang yang kita mahu fikir apa impak[nya] kepada rakyat? Aku rasa demo-demo yang ini, aku rasa mungkin senang aku cakap, (gerakan) elit sahajalah. Yang terperangkap dengan aktivisme elit, bercakap tentang isu yang kononnya nasional kan.

Jadi kami ini, kami rasa kami lebih kepada mendasar bahawa kami memang berjuang untuk masyarakat kelas bawah. Apa-apa pun, itu dahulu. Itu lebih menjelaskan perasaan kami sebenar. Walaupun kami tidak ada kuantiti, walaupun kami tidak disokong oleh geng-geng yang lain, tapi itu lebih autentik datang daripada kami. Dan itulah sebenarnya demo begini yang kami mahu. Walaupun kita lima orang, [kalau] kita boleh rusuh, kita rusuh. Jadi, kami ndak percaya bahawa perlu ramai, perlu organise, perlu ada sistem, perlu ada ini. Cukup ada kawan, okay. Kalau aku ditangkap macam mana? Oh, begini [caranya]. Kalau kau kena tangkap nanti, pandai-pandai lah. Begitu.

Kalau kita lihat protes yang tadi itu, Tangkap MO1, Pandang ke Sabah dan mungkin juga yang tempoh hari waktu COVID, skalanya semua berbeza.

Bagaimana menanggapi persoalan tentang kuantiti dan kualiti protes melalui pengalaman Mukmin sendiri?
Sebenarnya, dalam (protes) kecil-kecil yang kita buat hit and run ni, kita jugak mengimpikan satu revolt yang betul-betul besar kan. Maksudnya, satu demo yang besar untuk jatuhkan terus kekuasaan. Memang kita mengimpikan itu, cuma aku selalu fikir begini: dalam kita mahu jatuhkan sesuatu, kita harus angkat sesuatu ataupun kita kena sediakan bentuk baru. Kita meruntuhkan satu bentuk, kita kena memberikan bentuk baru. Jadi ketika kita tidak bersedia, buat apa aku terperangkap dengan kepura-puraan itu? Ha, aku rasa begitu. Aku tidak rasa untuk jatuhkan itu, [akan] ada pengganti yang lebih bagus. Aku tidak mahu berdosa, menanggung dosa mengangkat orang yang tidak tepat kan? Aku rasa begitulah, kecuali aku sudah adalah [pengganti yang baik] kan. Jadi aku lihat ya, aku selalu memaknai semua benda ini pembelajaran untuk aku, untuk melihat perlukah aku terlibat. Semua demo aku akan support solidariti sebab itu adalah hak. Kalau kawan-kawan ditangkap, aku akan jadi team media. Apa aku boleh buat dari Sabah? Aku akan buat solidariti.

Ya, aku fikir penting untuk aku belajar [tentang] demo-demo ini sebab aku berharap sebenarnya akan datang, demo-demo ini datangnya daripada masyarakat (sendiri). Aku rasa demo ni terlalu elit. Orang-orang petani ndak datang, nelayan ndak datang, buruh yang betul-betul ndak datang. Yang datang ni orang kelas menengah dan kelas atas kan, betul? Aku rasalah sebab tidak ada orang organise berapa buruh akan datang, organisasi petani datang ke tidak. Tidak ada orang organise sebab kita tidak pernah rasa dia orang tu penting. Mungkin ada yang pergi tanya bolehkah datang petani apa semua, sekadar begitulah. Tapi tidak ada proses pendidikan untuk mendidik mereka, pendidikan politik untuk mereka bahawa ada ini, kena buat macam begini. Jadi aku lebih puas hati ketika ada protes itu, kita yang kononnya tercerah, intelektual (dapat) membawanya ke masyarakat yang tepat. Yang terkesan ni diorang. Selagi diorang tidak tercerah, kita demo di atas ni untuk apa? Kita akan menindas diorang, kita akan memaksakan perubahan untuk diorang. Jadi itulah kenapa aku rasa demo-demo seperti ketika Kampung Teluk Layang (2019) mahu dirobohkan, oh, itu lagi nikmat bagi saya. Orang kampung datang. Stateless. Pertama kali stateless buat demo untuk pertahankan tanah dia di pejabat. Waktu tu tidak ada penahanan dan tidak ada polis juga, tetapi kita terus disambut oleh pejabat ini untuk berbincang. Oh itu aku rasa lebih bermakna.

Boleh kongsikan proses di mana golongan stateless itu berani untuk ke depan dan mempertahankan kampung mereka?

Bila mahasiswa turun ke dalam kampung-kampung ini, kami ada pembacaan, boleh cakap [tentang] ideologi. Kita tidak sekadar datang “oh kesiannya kanak-kanak tidak ada sekolah”, tidak! Asasnya, kita melihat kepemilikan [tanah] itu. Mereka tidak memiliki tanah ini, jadi kalau dia tidak memiliki, bila-bila tempat ini jadi mudah pecah. Bila-bila boleh dihalau, bila-bila boleh dihambat. Jadi, kenapa kita datang?

Waktu itu, gerakan mahasiswa dan cita-cita kita, duduk di tengah-tengah itu supaya ketika ada aparat-aparat ataupun polis datang, DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) datang, kita boleh menampung masyarakat ini. Kita boleh bergerak, menyusun sesuatu. Itu memang alasannya yang paling awal lah kenapa kita berada di tengah, supaya kita boleh jadi tembok itu. Jadi ketika mereka datang 2019, kita betul-betul sudah ada di tengah. Apa yang mereka buat adalah biasalah, pemutihan. Mereka akan tanda, tanda, tanda, tanda, tanda, tanda (spray) tanpa notis orang ini.

Melibatkan berapa ramai keluarga di situ?

Kalau ikutkan semua 50 buah rumah, mungkin ada dalam 400 orang. Jadi bila kita dapat itu, masuklah mahasiswa menyusun strategi, memanggil orang kampung untuk bermesyuarat pertama. Sebab dulu kita tidak ada alasan untuk bermesyuarat, jadi itu mesyuarat pertama menyusun bentuk, apa yang kita boleh buat, apa kita boleh susun, apa bukti-bukti kita di sini sehingga penemuan-penemuan tentang kuburan itu daripada tahun 1970-an, jadi macam mana akhirnya kita membuat pemetaan kampung yang betul-betul, penemuan-penemuan batu-batu nisan itu perlu diterangkan supaya dia menjadi bukti untuk bahawa kita sudah di sini sudah lama. Jadi selepas-selepas itu, proses tu berjalan, akhirnya ada kekuatan orang kampung untuk [berdemo]. Sebab kami pun fikirlah kita mengajak demo orang kampung yang tidak ada dokumen, ini bukan suatu benda [biasa], ini gila ni, berisiko. Jadi banyak kali perbincangan, pujukan, kepercayaan tentang kami. Kami berjanji yang kami akan bertanggungjawab sepenuhnya, tapi risikonya ada, kita tanggung bersama. Jadi macam begitulah kita akan [berdemo], dan mereka mahu. Dan pagi itu bulan puasa, kita pun bergerak ke Alamesra (Plaza Utama) untuk buat protes di pejabat Parlimen (Sepanggar).

Disebut tadi ada mahasiswa yang masuk. Berapa ramai dan adakah mereka dari persatuan yang spesifik atau bagaimana? Dan berada di tengah-tengah tadi itu maksudnya mereka sudah lama dengan komuniti ya melalui Sekolah Alternatif?

Mahasiswanya daripada Kelab Sastera Mahasiswa, Suara Mahasiswa dengan aktivis Borneo Komrad lah, duduk di dalam satu tempat namanya Sekolah Alternatif atau Teratak Mahasiswa. Di kampung tu, kami panggil waktu tu Teratak Mahasiswa, Sekolah Alternatif. Jadi, mahasiswanya sekitar 20 ke 30 orang.

Tadi dikongsikan pasal pemetaan yang dijalankan oleh komuniti. [Biasanya], kalau gerakan mahasiswa atau protes pendidikan, semua ada caranya sendiri. Kalau pemuliharaan sejarah tempatan melalui pemetaan itu, bagaimana korang boleh sampai ke arah tu?

Bila stateless ini, dia tidak ada urusan dokumentasi rasmi dan kita pula tidak banyak sejarah lisan. Kita percaya kepada sejarah [berbentuk] tulisan kan. Mereka tidak ada dokumen, tidak ada bukti apa-apa. Mungkinlah sebab kita masuk lebih awal sebagai orang yang tidak ada apa-apa, tidak tahu, mahu belajar, mahu mengamati, tidak ada beban apa-apa, jadi kita agak dalam mencari macam mana mahu buktikan mereka betul duduk di sini. Sebab ini komuniti yang [ter]pecah kan, keluar lari, bergerak, mencari tempat (tinggal) baru. Kalau pun ada yang awal, tidaklah seawal mana pun. Dan aku terfikir, macam mana kalau dari awal pun dia orang sudah di sini, kenapa mau diganggu? Ha, macam gitulah aku fikir.

Itu adalah tanah dia orang, tempat dia orang. Jadi daripada situ, dicarilah sesuatu. Ada satu pak cik tu, ada dokumen. Lepas tu secara organiklah. Kita tidak ada(lah) macam mau buat temubual, analisis kajian, kita tidak ada beban untuk membuat begitulah. Kita tidak ada kekuatan pun dan kita tidak ada ilmu.

Jadi bila kita [dengar] cerita-cerita, itu yang mengingatkan kita dan macam terus ada idea. [Minta pada] Pak cik (penduduk di Kampung Teluk Layang), cuba cerita balik betul-betul jika ada bukti-bukti. Oh ada ni, “aku surat kahwin 1980-a beralamatkan kampung ini”!

Wah, ini okay ni aku cakap. Lepas tu apa lagi pak cik? Gini, gini, gini, gini. Pak cik, kuburan tu siapa yang paling awal? Oh, ada kuburan tu tahun 1980 ke 1990 macam tu. Oh, kuburan yang mana pak cik? Ha, jadi macam daripada keadaan itu, kita respon okay (dan fikir) apa yang boleh kita buat [jadi bukti]. Sebab kita mahu bagi tau orang yang kau penduduk tempat situ tu, jadi dikumpulkan mana maklumat, mana yang beralamat kampung itu, surat-menyurat mana, apa-apa saja untuk menghalalkan benda tu.

Mukmin terlibat dengan pelbagai pergerakan yang rencam dan terlibat dalam protes yang berbeza-berbeza. Bolehkah kongsi sedikit lanskap protes di Sabah itu sendiri macam mana dan bagaimana kau memposisikan diri kau terhadap isu-isu yang diangkat?

Kalau bercakap tentang tanah, tentang hak, sebenarnya di Sabah ni ada banyak protes-protesnya secara senyap-senyap, mungkin tidak dapat (laporan) media yang kuat. Aku pulak mahasiswa yang baru, aku cuma tahu protes ketika itu BERSIH, di bandar, di kota-kota kan. Secara jujurnya, aku kurang tahu sebenarnya. Mungkin pembacaan ku tidak kena di situ ya sebelum aku masuk universiti. [Tentang] protes-protes Orang Asal, Empangan Papar, tentang hak tanah ini semua.

Kami pernah mesyuarat (dulu), mahu biayai aktivis mahasiswa hantar pergi kampung untuk lihat apa yang sebenarnya mahasiswa boleh bantu. Kami mahasiswa ambil sikap memang akan pergi tengok macam mana kita boleh buat. Sebenarnya di Sabah, sejak kebelakangan ni bila aku banyak travel masuk ke kampung untuk mencari persepsi yang betul, aku baru tahu banyak sangat protes pertahankan kampung sehinggakan ada yang di Kota Belud itu papan tanda depannya sampai sekarang adalah satu gerbang yang besar “Tanah kami, nyawa kami” macam begitulah dia punya ayat. Sampai sekarang. Jadi saya fikir macam “Wah! (Ini) protes berterusan”.

Dengan perkongsian kau ni, kita dapat melihat konteks-konteks ruang protes yang berbeza yang mungkin sebenarnya penting untuk kita dokumentasi kerana kita dapat lihat orang yang terlibat dan gerakan apa yang menampung mereka. Mungkin nak tanya sedikit pasal ruang. Bagaimana pemilihan ruang protes dan apa yang kau fahami tentangnya?

Secara jujurnya waktu BERSIH (dan) selepas-selepas tu kan, (aku panggilnya) sebagai hari keluarga. Sebab hari keluarga saja dibuat di tepi pantai, di taman-taman kan. Bila aku dapat tahu “Oh, ini ruang yang dipilih oleh pihak polis, ini ruang yang lebih selamat”, itulah istilah mereka. Tujuan protes sebenarnya untuk beri pencerahan kepada masyarakat, jadi kami melanggar Gaya Street itu sebab kami tau situ ramai. Sebenarnya, kami mahu berpidato. Ditangkap, tidak ditangkap itu urusan lain, tapi kami mau beri pencerahan, kami mahu budaya, protes ini pembudayaan.

Kalau kita betul-betul mau tuntut, kita akan buat protes. Contohnya macam di Parlimen kan, ini orang yang kita mahu serang pejabat dia. Kita matlamatnya apa? Matlamatnya untuk berkempenkah? Untuk mengganggu DBKK kah? Ataupun untuk memberitahu ahli politik (tentang sesuatu isu). Jadi aku rasa pemilihan itu, ada objektif tertentulah. Ia boleh berbeza-beza.

Contoh macam demo (protes PKPD COVID) di Tawau. Kenapa kami tidak pergi MPT, Majlis Perbandaran? Kenapa tidak pergi balai polis? Kenapa tidak pergi sini? Sebab kami rasa kami mahu orang kampung keluar pergi pos kawalan, kami daripada luar berjumpa di tengah-tengah terus menyampaikan. Jadi itulah matlamat dia. Itu simbolik dia, ruang itu sebagai satu simbolisme.

Mungkin kau boleh kongsi sedikit pasal protes 2021 dengan orang kampung di Tawau. Bagaimana protes itu dibangunkan bersama-sama dengan orang kampung waktu darurat kesihatan tu, saat tidak dibenarkan keluar dan sebagainya?

Waktu itu sebenarnya aku di Semporna. Di media sosial, orang Tawau mula bising sebab Tawau antara yang paling ketat waktu itu di Sabah, di Malaysia. Sebenarnya, protes tu sudah berlangsung di media sosial. Jadi waktu itu, mulalah orang mention-mention aku (di media sosial). “Oh Mukmin Nantang, tolong begini, gini, gini, tengok macam mana”.

Tapi aku bagi tahulah waktu tu, aku ada buat posting, aku ada buat live, aku bagi tahu sebenarnya kalau betul-betul berani untuk kita ambil risiko, kita boleh buat sesuatu aku cakap. Kita boleh demonstrasi macam gitu.

Tapi sebenarnya, sebelum aku ucapkan (untuk) demonstrasi, secara organik orang sudah cakap kita kena berhimpun. Ayat-ayat tu memang sudah ada. Lepas tu, aku dimasukkan dalam satu group untuk membuat demonstrasi besar-besaran di Tawau. Bukan aku punya idea. Tapi waktu itu, aku sedar bahawa demo itu juga ditunggang oleh orang politik. Diorang ni (ramai) memandai-mandai, tapi yang kesiannya anak muda yang tak ada tahu apa-apa tapi sebenarnya didalangi. Disinilah diorang perlukan surat, perlukan ini, jadi aku pun bagi tahu lah tentang akta-akta ini, tentang ini, tentang itu apa semuanya kan. Jadi kadang-kadang kalau kamu betul-betul ikut garisan undang-undang yang ada sekarang, sekarang darurat, mana boleh buat apa-apa. Macam gitulah. Tapi dia orang tidak memahami dan ketakutanlah, jadi organise-nya tu tidak okaylah. Tapi perbincangan masih berlangsung apa semuanya kan, aku pulang ke Tawau.

Tiada niat untuk protes pun tapi ada niat untuk berkumpul secara fizikal secara sembunyi-sembunyi, sebab waktu aku lalu sempadan ni pun orang tak tahu kenapa aku boleh lalu lalang. Ada lah aku punya cara-cara menyebabkan aku boleh lintas sempadan waktu itu untuk protes. Tapi niat waktu balik tu tak ada protes, [tetapi] untuk jumpa-jumpa macam mana, betulkah mahu buat, macam mana cara(nya). Tapi tiba-tiba, (mau dibikin) demo besar di Tawau ya, bukan di kampung, (tapi) di bandar, di Majlis Perbandaran Tawau.

Selepas aku berbuka puasa, aku dihubungi kawan lama di Facebook. Dia chat aku, aku bagi dia nombor telefon, kami bertelefon. Dia cakap “macam mana ni Min? Kami sudah PKP ni, ditambah lagi PKPD baru diumumkan. Aku rasa aku ndak boleh ni, aku runner, gaji hari. Masalahnya Min, kalau hendak PKP, PKP lah. Kenapa kami tidak dibenarkan untuk keluar bekerja? Kami boleh keluar satu jam ja”, dia luahkan perasaannya.

Lepas tu, apa kita boleh buat ni? Kau beranikah aku cakap untuk demo. “Oi, aku sekarang ndak sudah mau fikir, boleh sajanya”. “Jadi kau mau aku apa?” “Aku mau kau bantu aku macam mana caranya”.

Jadi aku bagi tau dengan dia sekarang kita susun begini. Pertama, kau boleh kumpul orang kampung? Boleh, bilangnya. Memang banyak orang kampung sekarang dengan aku. “Okay bagus”, aku cakap. Jadi kau kumpul orang kampung, besok petang kita jumpa di sini. Aku akan datang bawak kawan-kawan daripada luar dan kawan-kawan runner daripada luar, kita akan berjumpa di tengah. “Okay”, bilangnya.

Tapi aku cakap jangan bagi tau aku hadir sebab aku memang diikut SB kan. Jadi pagi tu sudah bincang, dia mobilise, aku mobilise, sepatutnya demo itu bertembung di tengah, orang kampung dan orang luar. Tapi malangnya awal pagi, maklumat ini bocor. Kerana maklumat bocor, rumah kawan itu dikepung di dalam kampung. Sebab demo tu diketahui jam 4 petang, jam 3 petang kampung itu dikepung. Jadi kami di luar dengan budak-budak runner dalam 20 orang ke 30 orang, kami sudah bersedia. Jadi bertelefon-telefon di dalam, mereka dikepung, tak boleh keluar apa-apa. Jadi aku pun tanyalah runner di luar tu kan, ini orang-orang biasa. Borneo Komrad waktu tu di Tawau ada dalam lima ke 10 orang, tapi tidak semua orang boleh ke depan. Ada risiko-risikonya kan.

Jadi aku tanyalah runner okay, “sekarang ni kamu macam mana? Kamu mau kah?”. Aku bagi tahulah demo ni ada risikonya. Jadi kamu belum pernah demo dan kita tidak sempat susun apa-apa cuma aku bagi tahu kamu ada risiko dan kemungkinan ditangkap, tapi kita sedaya upaya lah jangan ditangkap aku cakap sebab kamu kesiankan (ada yang) kerja. Kami ndak fikir semuanya tu, bilangnya. Sekarang ni kalau ditangkapkah (pun) kita langgar saja. Aku terkejutlah. Dia orang ni mana ada pencerahan aktivisme, tangkapan polis ke apa semuanya kan. “Kamu ni betul-betul kah?” “Betul Min”.

Bergeraklah kami naik motor dalam 20, 30 buah (dan) parking masuk ke dalam. Jadi kalau ikutkan betul, demonya tu bertembung di tengah, tapi ndak sempat ucapan-ucapan pidato, tuntutan-tuntutan kami, kami terus disergah.

Mereka yang bekerja sebagai rider ini berpecah-pecah, sporadik dan merata-ratakan, hampir sukar untuk menyatukan dan organise mereka. Pada pendapat kau, bagaimana teman-teman rider ni boleh sama sekali kumpul dengan kawan-kawan di dalam kampung?

Sebenarnya, kawan lama aku, dia satu sosok yang ada bacaan politik tapi cara kampunglah kan. Jadi dia ni boleh dikatakan orang yang kuat ataupun ketua di antara rider. Kawan lama aku ni, dia yang orang pertama runner di Tawau dan dia yang membuka ruang untuk orang-orang Tawau menjadi runner. Jadi runner ni biasa pergi kampung tu, jadi ada solidariti di situ. Ada rasa mahu bantu kawan ni. Dan sebenarnya jugak, abang kepada kawan runner aku itu pun runner jugak ada keluarga di dalam (kampung). Jadi mereka pun rasa benda itu. Jadi dia orang ini satu group runner yang sama, boleh dikatakan diketuai olehnya.

Sepanjang kau terlibat dalam protes, apa kesan protes pada kau?

Aku nampak beza (budaya) aktivisme di Semenanjung. Aku tak boleh pukul rata Semenanjung, aku (mungkin) pukul Lembah Klang. Yang terkenal, yang dilihat, yang selalu di media sosial, diambil, ditangkap kan (berbeza) dengan kita di Sabah ataupun gerakan kecil-kecil Orang Asli. Kita tidak ditunggang oleh sesiapa. Kadang-kadang mungkin orang tu rasa tidak ditunggang, tapi tanpa sedar. Sebab bila dibuat perbincangan, (bersama) pelajar-pelajar (di Sekolah Alternatif) dan macam aku dengan saudara Rahman (Imuda), kami mana ada [bincang] siapa yang mau berkuasa ni kan. Macam gitu. Jadi aku rasa itu yang menyebabkan kami ada perasaan untuk berjuang yang betul-betul. Kami tidak boleh, contohnya pergi PC (press conference). Aku rasa macam apa ni? PC ni untuk apa? Aku rasa kadang-kadang dia terlalu kosmetik, terlalu diada-adakan. Penat tapi buat benda yang sia-sia, macam gitulah. Oh pergi kementerian, dia orang menganggap ini sebagai simbolik, tapi kita ndak rasa itu simbolik yang penting pun. Tapi bila aku melalui, aku ikut apa semuanya, kita belajar cuma aku tidak mau sangat percaya. Malaysia ini mempunyai sejarah yang lain ya. Kita dianggap sebagai bukan penentanglah, kita diberikan kemerdekaan kan. Contohnya macam itu kan istilah yang [digunakan] walaupun banyak perbahasan lagi. Jadi kita kena akui jugak bahawa mengumpulkan orang itu bukan mudah, jadi aku menghargai itu. Menghargai kawan-kawan yang berpenat lelah mengumpulkan orang. Jadi aku belajar macam mana skil mengumpulkan orang, tulis ayat, buat kenyataan media.

Jadi dalam satu demo (yang) beberapa jam saja itu, sebenarnya prosesnya banyak, pembelajarannya banyak. Belajar tentang penulisan, hubungan, tentang solidariti, tentang respon, tentang ayat apa harus digunakan, propaganda apa mau digunakan, alat sebaran apa mau digunakan. Jadi aku belajar daripada semua benda, termasuklah satu protes yang besar aku rasa dalam hidupku adalah protes waktu aku baru berapa hari sambung Master di Universiti Malaysia Sabah. Waktu itu, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan mahu menghilangkan nama [Ke]seni[an] itu. Ia digabung sudah dalam satu fakulti tapi nama [Ke]seni[an] itu mahu dihilangkan sedangkan kami ni ada dua blok. Blok kemanusiaan, blok [Ke]seni[an]. Ya lah, betul lah dari disiplin ilmu, seni tu kemanusiaan juga. Tapi waktu itu, kita rasa dihambatlah. Kita ada dua blok, satu blok seni. Kita ada sentimen sendiri, kita ada semangat sendiri, roh sendiri, kita mengakui. Tapi bila tak ada nama seni tu kita jadi tumpul. Dia bukan tentang disiplin ilmu ke apa, tapi ada rohnya di situ. Jadi bila aku meeting dengan kawan-kawan mahasiswa, aku rasa ada ketulusan di situ.

Jadi mahasiswa waktu mesyuarat tu, mereka cadangkan untuk buat keranda. Itu satu hal, itu bagus untuk simbolik budak seni kan. Jadi keranda itu akan diusung menandakan matinya seni di universiti, dan muncul lagi idea membakar keranda itu. Oh waktu itu aku fikir macam gilalah, jadi berdebatlah mereka. Jadi bagi aku tindakan membakar keranda itu terlalu radikal. Dibincangkanlah tentang tanda, tentang simbol. Jadi bagi aku, aku lebih mengamati pendidikan itu. Diskusinya untuk apa, tanda ini untuk apa, jadi aku belajar berimaginasi dan melihat tanda-tanda.

Lepas tu, aku pernah juga mau buat protes dengan Pangrok Sulap. Protes ni ndak jadi, tapi bila aku bincang dengan Rizo (Leong) kami munculkan idea. Gaya Street panjangkan [jadi] apa kami mau buat, Borneo Komrad (dan) Pangrok Sulap akan angkat tangki biru sebelum pilihan raya daripada hujung ke hujung. Angkat tanpa buat apa-apa, angkat ja. Simbolik mau pilihan raya, akan ada tangki biru sebagai gula-gula. Jadi bagi aku, aku belajar. Aku rasa seninya di situ.

Bila ada demo-demo mahasiswa, demo-demo orang kampung, jadi aku rasa lega. Sebab kadang-kadang, kita nampak penindasan (dan) bila kita kena sesuatu (untuk) mendepani risiko itu. Jadi bila aku demo, kemungkinan ditangkap tu tinggi bermakna kau betul-betul mencabar perasaan itu. Sebab kalau kita mau berjuang, itulah.

Apatah lagi dulu-dulu aku membaca banyaknya wartawan yang ditangkap, tokoh-tokoh sastera politik ditangkap, dia orang boleh melahirkan karya-karya yang bagus daripada penjara, jadi itu mempengaruhi aku. Jadi kalaulah aku masih mau hidup mewah, hidup berpura-pura, cuma mendapat populariti, tapi aku tidak dapat mendepani (risiko) ditangkap itu, aku rasa belum cukup bersungguh-sungguh untuk aku berjuang. Jadi protes, demonstrasi memungkinkan aku sampai ke sini sekarang.