Teks ini merupakan ucapan oleh Prof. Dr. Syed Husin Ali bagi mengumumkan pemenang Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022 serta pelancaran buku Puisi Dari Penjara oleh Said Zahari pada tanggal 19 Mac 2022 jam 2 petang.

Pada tahun ini seorang wartawan wanita dari Filipina, bernama Maria Ressa, bersama seorang wartawan dari Rusia, telah memenangi Hadiah Nobel kerana berjuang mempertahan kebebasan akhbar.

Maria Ressa telah menggunakan akhbar yang ditajanya untuk mengkritik secara bebas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang dianggapnya sebagai bersifat kuku besi.

Walaupun beberapa orang lain telah ditahan, namun Maria tidak pernah mengalami nasib buruk ini. Namun, beliau menghadapi 10 pertuduhan yang telah difail dalam mahkamah.

Pengalaman Maria Ressa ini ringan jika dibandingkan dengan pengalaman yang dialami oleh Said Zahari. Said telah memimpin mogok selama hampir 100 hari oleh pekerja-pekerja Utusan Melayu. Akhirnya, hampir semua mereka ini dibuang kerja. Mogok ini ialah untuk mempertahan Utusan Melayu daripada diambil alih oleh Kerajaan. Said serta pekerja-pekerja itu bukan saja mempertahan kebebasan Utusan Melayu, bahkan prinsip kebebasan akhbar umumnya.

Walaupun Said tinggal dan bekerja di Malaysia, beliau adalah rakyat Singapura. Semasa mogok, beliau telah pergi ke Singapura untuk melawat pekerja-pekerja Utusan di Singapura yang turut mogok. Apabila beliau hendak pulang ke Kuala Lumpur, Said telah disekat dan diharamkan untuk masuk ke Malaysia.

Semasa di Singapura, Said menjalin hubungan yang akrab dengan tokoh-tokoh dan organisasi-organisasi kiri di sana. Apabila beliau mengambil alih pimpinan Parti Rakyat Singapura (PRS), beliau telah ditahan bersama lebih 100 orang aktivis lain di bawah Operasi Cold Store, sebelum sempat 24 jam pun memegang jawatan Ketua PRS. Beliau meringkuk selama kira-kira 17 tahun dalam pelbagai penjara di Singapura.

Semasa dalam tahanan Said telah menulis sajak-sajaknya. Sebanyak 72 buah sajak ini diterbitkan dalam edisi baru Puisi dari Penjara yang kita luncurkan hari ini. Ini merupakan edisi baru kerana hampir 50 tahun lalu edisi awal Puisi dari Penjara yang mengandungi 17 sajaknya telah diterbitkan.

Said kemudian telah menjadi Penulis Tamu di UKM selepas dibebaskan. Di sana dan juga selepas itu beliau telah menulis dan menerbitkan tiga buah buku tentang pengalaman mogok, tahanan dan politik beliau.

Sebenarnya, sewajarnyalah Said dianugerahkan Hadiah Nobel untuk perjuangan membela kebebasan akhbar. Akan tetapi ini tidak berlaku kerana Hadiah Nobel memang tidak diberi kepada mereka yang bersikap progresif kiri.

Akan tetapi bagaimanakah wartawan Rusia itu mendapatnya bersama Maria Ressa? Ini ialah kerana beliau mengkritik pemerintahan Rusia. Sekiranya beliau menentang pemerintahan Rusia dan menyokong kuasa imperialis Amerika, sudah tentulah ceritanya lain sedikit.

Walaupun beliau tidak diiktiraf oleh Hadiah Nobel, namum kita dalam negara ini harus menyanjung perjuangan Said. Perjuangan itu bersandarkan nilai-nilai kemerdekaan, kebebasan dan keadilan. Cara Pusat Sejarah Rakyat menghormati Said ialah dengan memberi Anugerah Wartawan Muda Said Zahari.

Kali ini ialah kali ketiga pertandingan untuk Anugerah ini diadakan. Ia disertai oleh sembilan orang wartawan muda, lima lelaki dan empat perempuan. Buah tangan yang dikemukakan oleh wartawan-wartawan ini berjumlah sembilan juga – enam dalam Bahasa Inggeris, satu dalam Bahasa Melayu dan dua dalam Bahasa Mandarin. Bilangan peserta dan karangan yang dikemukakan masih kecil dan belum memuaskan lagi.

Tiga orang telah mengadili pertandingan ini dan mereka telah menyenarai pendek tiga orang, seperti berikut:

          Sdri Chen Yih Wen, “Young and Stateless in Sabah”.

          Sdr Low Choon Chyuan,  “Prison life amid the pandemic – ‘we are treated like animals

Dengan sukacita saya mengumumkan pemenang Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022, iaitu Saudara Law Yao Hua, dengan tajuk karangannya, “Cut, Carved and Cleared, When Big Forests Go”.

Akhirnya, saya mengucapkan ribuah terima kasih kepada anak-anak Said Zahari yang membenarkan sajak-sajak beliau diterbitkan, dan juga kepada semua yang menjayakan majlis ini.

Petaling Jaya

19 Mac 2022