T. Rajamoorthy (1944 – 2023) bersama rakan-rakan. Beliau memakai baju berwarna merah manggis.

Kami di Pusat Sejarah Rakyat (PSR) berdukacita di atas pemergian bekas Ahli Lembaga Pengarah kami, Saudara T. Rajamoorthy (1944 – 2023) pada jam 4.00 pagi 24 Mac 2023.

Beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah PSR sejak di awal penubuhannya sekitar 2011. Belajar untuk menjadi peguam di London pada lewat tahun 60-an, beliau turut aktif bersama gerakan pelajar pada ketika itu khususnya menerusi Malaysian & Singaporean Students Forum (MASS Forum).

Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat di dalam dunia guaman sebelum memfokuskan gerak kerjanya bersama beberapa organisasi hak asasi manusia dan politik dalam menegakkan keadilan sosial bagi masyarakat terpinggir. Di antaranya, Third World Network selaku penyelidik kanan. Beliau juga merupakan tonggak dalam menerbitkan majalah bulanan Third World Resurgence. Selain itu, beliau juga pernah menjadi anggota JK Pusat Parti Rakyat Malaysia semasa pimpinan Dr. Syed Husin Ali.

Mendiang T. Rajamoorthy diingati oleh teman-teman lingkungannya sebagai seorang yang sangat berdisiplin dan sentiasa hadir tepat masanya ketika menjalankan tugas. Juga, beliau merupakan seorang tokoh intelektual, pemikir yang serius tentang isu-isu global serta sarjana sohor negara kita – cukup berbudi serta senantiasa merendah diri.

Takziah pada seisi keluarganya.