Tarikh: 17 Ogos 2021 (Selasa)
Waktu: 8:30pm
Platform: Zoom

Abstrak:
Pada 14 April 2017, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah Forum Menteri Dasar Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menegaskan bahawa, “Karikatur satira politik tidak sesuai dengan budaya [di] Malaysia.” Dalam forum yang sama, beliau kemudiannya menegaskan lagi bahawa, “Keintelektualan harus digunakan untuk ‘dikongsi bersama’ dan bukannya untuk merendahkan pihak yang lain.”

Pendapatnya menimbulkan beberapa persoalan yang menarik. Pertama, benarkah satira politik tidak sesuai dengan budaya di Malaysia yang rencam ini? Kedua, jika benar, mengapa satira politik dikatakan tidak sesuai? Ketiga, mengapa satirawan dikaitkan dengan intelektual dan keintelektualan? Dan keempat, adakah konsep sindiran Melayu itu adalah satira? Persoalan-persoalan ini sebetulnya tidak cukup untuk dijelaskan dalam ruang masa yang terhad ini. Justeru itu, pembentangan ini cuba menguak beberapa hal mengenai satira khususnya secara konseptual dan sejarahnya di ranah Malaysia. Kendatipun, dalam ruangan yang padat ini, pembentangan dipecahkan kepada tiga bahagian (1) Apa itu satira?; (2) Kiasan dan sindiran dalam kebudayaan Melayu dan; (3) Satira politik dan perkembangannya di Malaysia.


Pembicara:


Fairuzzaman Shaharuddin ialah seorang calon pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Asia Tenggara di Universiti Frankfurt, Jerman. Kajian doktoralnya mengenai satira politik di Malaysia dalam kerangka teori, “Political Theory of Dissent.” Minat (bukan kepakaran) kajiannya juga turut mencakupi politik dan pentadbiran, falsafah continental, gerakan sosial, budaya pop, sastera dan seni. Meskipun pengajiannya di luar negara dan bidang minatnya tampak berbudaya; malangnya, sehingga kini Fairuzzaman masih belum mempunyai sebuah tulisan bertaraf Scopus-WoS. Fairuzzaman juga merupakan salah seorang anggota Naratif Malaysia (NARATIF).


Pengulas:


Alina Abdullah, yang kini bertugas sebagai Pengarah Galeri Shah Alam, juga merupakan penyelidik, pengkritik dan penulis dalam bidang sejarah seni. Jika tiada tugasan rasmi, Alina senang sekali melukis dan juga menjadi penterjemah bebas.
Info: