Dijalankan buat tahun kelima berturut-turut, Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2023/24 yang dijalankan pada tarikh 16 Mac 2024 (Sabtu) pada jam 2:00 Petang secara dalam talian cukup hangat dengan penyertaan ketiga-tiga wartawan yang disenarai pendek iaitu:
1) Lee Kwai Han (Wartawan Bebas) dengan artikel berjudul Unlocking Rare Earth Riches in Malaysia
2) Nurul Nabila (Wartawan, Sinar Harian) dengan siri artikel berjudul Bilik sewa ‘sangkar burung’
3) Alena Nadia (Wartawan Bebas) dengan artikel berjudul Will solar power shine a light on Orang Asli villages left behind?
Bermula dengan siri forum berjudul “Di Tengah Rakyat: Menggali Kepengarangan Wartawan Muda” yang dimudahcara oleh Liani MK (wartawan bebas dan penerima Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022), kita membincangkan cukup banyak hal merangkumi perkembangan kewartawanan di Malaysia.
Selepas forum selesai, pihak juri iaitu Dr. Syed Husin Ali bagi mewakili pasukan juri yang lain iaitu Dr. Mustafa K. Anuar (Ahli Akademik & Wartawan Senior) serta Dr. Por Heong Hong (Ahli Akademik & Ahli Lembaga Pengarah PSR) menyampaikan ulasan penjurian seperti berikut:
Bagi edisi 2023/ 2024 ini, Anugerah Wartawan Muda Said Zahari sudah masuk untuk tahun kelima berturut-turut diadakan oleh Pusat Sejarah Rakyat, sebuah persatuan sejarah yang memfokuskan kepada pewacanaan sejarah rakyat dari bawah. Anugerah ini turut menerima dukungan dengan izin oleh waris keluarga Allahyarham Said Zahari.
Lanjutan dari pelbagai usaha Pusat Sejarah Rakyat lewat pelbagai webinar, siri syarahan, projek pengarkiban serta bengkel sejarah lisan, kami turut berbangga untuk melihat bagaimana potensi kepengarangan wartawan muda dalam merakam isu warga terbanyak. Peri-penting usaha ini, kebanyakan wujud dalam karangan yang dihantar oleh para wartawan bagi edisi kali ini. Seramai 12 orang wartawan (4 wanita dan 8 laki-laki) melibatkan 17 artikel dalam pelbagai bahasa dipertandingkan bagi tahun ini.
Isu yang dibawa cukup meluas sekali khususnya berkaitan penutupan kilang yang melibatkan kehilangan pekerjaan ketika ekonomi merudum, penglibatan wanita dalam politik, isu boikot saat genosida sedang berlaku di Palestin, alam sekitar dan sehinggalah kepada isu korupsi yang membelenggu negara kita.
Dengan isu yang beragam ini, kami di di pihak penjurian melibatkan Ahli Lembaga Pengarah PSR iaitu Dr Syed Husin Ali (ahli akademik dan politik), Dr. Por Heong Hong (ahli akademik) serta pertama kali turut disertai oleh Dr Mustafa (Wartawan & Ahli Akademik), bersepakat menyenaraikan pendek nama tiga wartawan.
Secara umumnya, para juri berpendapat bahawa terdapat penurunan dari segi kualiti karya tahun ini yang dikira kurang baik dari segi kepadatan isu yang dibawa walaupun ia agak beragam. Pun begitu, ada peningkatan dari segi bagaimana isu yang dibawa di dalam artikel tahun ini memberi kesan kepada pemerintah secara langsung. Di dalam beberapa hal, pihak berkuasa ada yang terus bertindak dan mengambil tahu tentang laporan melibatkan pemeriksaan dan respon lanjut. Ini menunjukkan bahawa laporan yang dihasilkan punya impak positif kepada warga terbanyak.
Ini sekaligus menunjukkan bagaimana sesuatu topik yang sukar dibahas dan dibawa, namun berjaya digarap oleh para wartawan supaya ia dapat menarik perhatian mereka yang di tampuk kekuasaan. Untuk itu, mungkin pihak juri akan berkongsi perbahasan yang berlaku melibatkan tiga wartawan muda yang disenarai pendek itu:
1) Nurul Nabila (seorang wartawan bersama Sinar Harian) dengan siri artikel berjudul Bilik sewa ‘sangkar burung’.
Isu yang diketengahkan ini cukup penting kerana ia melibatkan eksploitasi ekstrim pemilik rumah/bilik sewa terhadap penyewa di dalam negara. Walaupun begitu, usaha ‘investigative journalism’ / wartawan penyiasatan untuk melihat dengan lebih mendalam tentang keadaan rumah ini tidak sepenuhnya melibatkan usaha yang lebih gigih dalam merakam dan mendapatkan lebih banyak keterangan atau keluhan penyewa yang lebih ramai lagi. Walaupun ada impak dari segi respon seperti turun padang yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan serta menteri sendiri namun bagaimana ia akan mendapat susulan nanti? Ini masih belum dibincangkan. Selain itu, melihat juga kepada bilangan wartawan yang bekerja secara kolektif dalam proses mengarang laporan ini, ia boleh dijalankan dengan lebih komprehensif lagi.
2) Lee Kwai Han (seorang wartawan dan penyelidik bebas) dengan artikel berjudul Unlocking Rare Earth Riches in Malaysia .
Laporan yang dimuatkan di laman web Macaranga ini yang ditulis berdua bersama bekas penerima Anugerah Wartawan Muda Said Zahari, Saudara Law Yao Hwa tentang isu bahaya nadir bumi melibatkan beberapa kajian kes ini penting. Dengan melihat latar sejarah apa yang berlaku di Bukit Merah pada tahun 80an serta lanjutan dari perlombongan nadir bumi yang ada sekarang, Kwai Han menulis bagaimana ia bukan saja memberi kesan kepada komuniti setempat, tetapi juga bagaimana ia menjadi isu nasional. Pun begitu, pihak juri melihat bagaimana imbangan serta usahasama dalam proses pengarangan ini bersama bekas pemenang sekaligus menjadikan ia agak sukar untuk menilai kekuatan kepengarangan beliau sendiri.
3) Alena Nadia (seorang wartawan bebas) dengan artikel berjudul Will solar power shine a light on Orang Asli villages left behind?
Artikel yang dimasukkan ke dalam bentuk laporan interaktif melibatkan visual dan teks dalam melaporkan soal ketiadaan serta keterbatasan infrastruktur asas, khususnya memfokuskan kepada bekalan elektrik melibatkan masyarakat Orang Asli cukup mustahak diketengahkan oleh wartawan muda ini. Ia memberi gambaran besar yang jelas dalam mengetengahkan isu kesenjangan infrastruktur yang sehingga sekarang terjadi kepada komuniti ini. Namun begitu, juri berpendapat laporan yang ada masih bersifat narrative-building dan descriptive dengan impak yang minimal khususnya dalam bentuk perubahan polisi.
Para juri, selain melihat kepada gaya dan bentuk bahasa laporan sebagai salah satu kriteria penjurian, turut merasakan bahawa laporan yang diterima tahun ini naratifnya agak linear dan tidak begitu eksploratif dalam meneroka ‘human story’ / kisah manusiawi yang ada di dalam setiap laporan. Juga, turut dibincangkan adalah bagaimana laporan turut tidak menggagaskan wider contexts (konteks yang lebih meluas) tentang isu, khususnya secara terus melihat persoalan isu hubungan kekuasaan.
Untuk itu, para juri, buat pertama kali, sepakat memutuskan dengan muktamad memberikan anugerah ini untuk dikongsi hadiahnya kepada dua wartawan yang menulis secara kolektif melibatkan teman-teman wartawan lainnya, iaitu Nurul Nabila dan Lee Kwai Han yang masing masing menulis siri artikel berjudul Bilik sewa ‘sangkar burung’ dan artikel berjudul Unlocking Rare Earth Riches in Malaysia. Syabas dan moga terus dapat berkarya lagi!