Dalam perjuangan anti penjajahan dan pembentukan negara baru, akhbar memainkan peranan penting dalam menggerakkan kaum muda untuk mengambil tindakan dan menentang ketidakadilan. Salah seorang tokoh penting kewartawanan tanah air adalah wartawan, penyair, dan aktivis Said Zahari (1928-2016).

Said Zahari mula berkhidmat sebagai wartawan untuk suratkhabar Utusan Melayu pada tahun 1951 dan dilantik sebagai editor Utusan Melayu yang berpusat di Kuala Lumpur pada tahun 1959. Seorang wartawan berintegriti tinggi, beliau teguh mempertahankan kebebasan akhbar daripada tekanan parti pemerintah. Pada bulan Julai 1961, beliau memimpin pekerja-pekerja Utusan Melayu dalam melancarkan mogok yang bertahan selama 100 hari demi menegakkan kebebasan media. Aktivismenya mengakibatkan beliau disingkirkan dari Malaya. Sekembalinya ke Singapura, beliau dilantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura pada 1 Februari 1963, namun sehari kemudiannya beliau ditangkap di bawah Operasi Coldstore dan dipenjara tanpa bicara selama 17 tahun.

Komited kepada keadilan sosial, juara kebebasan akhbar yang tidak kenal lelah dan seorang nasionalis yang menolak politik perkauman, legasi Said Zahari menjadi inspirasi buat kita semua. Sebagai penghormatan pada legasi ini, Pusat Sejarah Rakyat bersama keluarga Said Zahari melancarkan Anugerah Wartawan Muda Said Zahari.

Wartawan muda, termasuk pelajar, berumur 30 tahun ke bawah, dari seluruh Malaysia dijemput untuk menyertai pertandingan ini dengan menghantar karya yang telah diterbitkan dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Panel hakim akan menilai dan memilih cerita yang menonjolkan prinsip-prinsip keadilan sosial, mempromosikan perbincangan sivil, dan berpotensi untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.

Para panel akan mempertimbangkan cerita dalam pelbagai media dan format yang telah diterbitkan dalam tempoh masa 12 bulan sebelum tarikh tutup. Selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, penyertaan cerita dalam bahasa vernakular juga dialu-alukan dengan syarat dilampirkan terjemahan (dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris).

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00 dan tambahan RM2,000.00 untuk perbelanjaan penyertaan aktiviti pendedahan dan pembinaan kapasiti (seperti bengkel, festival, lawatan belajar dll.) berkaitan kewartawanan dan hak asasi manusia.

Penyertaan dibuka dari 1 hingga 31 Disember 2019. Borang penyertaan boleh didapati di laman web www.pusatsejarahrakyat.org di masa terdekat.