28 Mei 1954

Pada hari ini dalam tahun 1954, seramai 8 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah ditangkap oleh polis di bawah Ordinan Hasutan (kini Akta Hasutan) di atas perintah kerajaan penjajah British.

Pada jam 5 pagi tanggal 28 Mei 1954, lapan orang aktivis mahasiswa UM kampus Singapura telah ditangkap oleh polis dari asrama dan rumah kediaman mereka atas tuduhan menerbitkan sebuah artikel bertajuk “Aggression In Asia” dalam akhbar “Fajar” keluaran no. 7 bertarikh 10 Mei 1954 yang dianggap menghasut rakyat untuk membenci dan membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Kolonial British di Malaya.

Kesemua 8 orang mahasiswa ini merupakan penyunting suratkhabar mahasiswa “Fajar”, sebuah akhbar bulanan yang diterbitkan oleh Kelab Sosialis Universiti Malaya. Mereka adalah Poh Soo Kai, M.K. Rajakumar, James Puthucheary, Edwin Thumboo, Lam Khuan Kit, Thomas Varkey, Kwa Boo Sun dan P. Arudsothy. Enam dari mereka adalah pelajar aliran Sastera dan dua lagi pelajar aliran Perubatan (Poh Soo Kai & M.K. Rajakumar).

Penangkapan mereka telah menggemparkan kampus UM. Kebanyakan mereka yang ditangkap merupakan aktivis mahasiswa yang lantang berjuang untuk membangkitkan kesedaran politik dan semangat kemerdekaan dikalangan mahasiswa dan juga rakyat Malaya.

Mereka telah dibawa ke mahkamah pada hari yang sama untuk menghadapi tuduhan di bawah Ordinan Hasutan. Bilik mahkamah penuh dengan mahasiswa lain yang turun memberi solidariti buat rakan mereka yang ditangkap. Salah seorang peguam yang telah mewakili mereka di mahkamah ialah seorang peguam muda bernama Lee Kuan Yew.

Artikel utama dalam akhbar “Fajar” no. 7 bertajuk “Aggression In Asia” yang mengambil pendirian tegas menentang penjajahan dan imperialisme dan menyokong tuntutan untuk kemerdekaan di tanah-tanah jajahan seluruh Asia telah dituduh berbau hasutan. Polis telah menggeledah bilik asrama kesemua 8 orang aktivis mahasiswa untuk mencari bukti, serta merampas kesemua isu akhbar “Fajar” dari kedai-kedai yang menjualnya.

Selepas dua setengah hari dibicarakan di mahkamah, keputusan telah berpihak kepada 8 orang mahasiswa tertuduh apabila hakim tidak menganggap artikel-artikel dalam akhbar “Fajar” berbau hasutan. Hakim telah membuat keputusan menggugurkan segala tuduhan ke atas mereka dan membebaskan kesemua 8 orang aktivis mahasiswa.

Keputusan mahkamah itu telah dianggap sebagai kemenangan menentang kerajaan penjajah yang mahu menyekat kebebasan bersuara, dan juga kemenangan buat gerakan mahasiswa dalam perjuangan anti-kolonial menuntut kemerdekaan.

05-28-fajar-1954

Leave a Reply