27 Mei 1966

Pada hari ini dalam tahun 1966, sekumpulan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) telah mengasaskan Sudut Pidato (Speakers’ Corner) di dalam kampus UM di Kuala Lumpur.

Sudut Pidato yang asal terletak di luar pintu belakang perpustakaan UM sekarang. Setahun kemudian, sebuah podium konkrit telah dibina oleh mahasiswa di atas tapak Sudut Pidato sebagai pentas mereka berpidato.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1966, Sudut Pidato UM menjadi platform untuk mahasiswa mengetengahkan pandangan, pendapat dan isi hati mereka secara terbuka tentang pelbagai isu, sosial dan politik, dalam dan luar kampus.

Salah seorang pengasas utama Sudut Pidato ialah seorang mahasiswa UM tahun 2 jurusan Sejarah bernama Ravee Raghavan. Menurut beliau, idea untuk menubuhkan sebuah Sudut Pidato lahir pada tahun 1965 kerana mahasiswa sudah bosan dengan kuliah-kuliah satu-hala yang bersifat didaktik dari para pensyarah. Mahasiswa memerlukan satu platform untuk membincangkan dan mencabar idea-idea yang diajar dalam bilik kuliah.

Dalam satu rencana dalam akhbar Mahasiswa Negara, seorang mahasiswa telah menulis, “Speaker’ Corner symbolises the student’s right to free speech, the right to speak and discuss any issues they like. No one, from the Prime Minister down to their own lecturer and union officials have escaped their criticism not even themselves.”

Sudut Pidato juga menjadi pentas untuk mahasiswa mengasah bakat mereka berpidato dan berucap di hadapan khalayak ramai.
Tetapi riwayat Sudut Pidato tidak kekal lama. Pada tahun 1974, ekoran dari penglibatan aktivis-aktivis mahasiswa UM dalam isu kebangkitan rakyat di Baling, Kedah dan Tasik Utara, Johor, kerajaan dan pihak pentadbiran universiti telah mengharamkan beberapa persatuan mahasiswa, dan menangkap beberapa orang pemimpin mahasiswa.

Kerajaan telah membuat pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menyekat kebebasan akademik dan autonomi mahasiswa, dan menyekat penglibatan mahasiswa dalam politik. Sejurus selepas itu Sudut Pidato UM telah diharamkan dan podium konkrit Sudut Pidato telah dimusnahkan.

05-27-sudut-pidato-um-1966

Leave a Reply