Pada hari ini dalam tahun 1949, sebuah pasukan tentera gerila Melayu anti-British telah didirikan di Kerdau, Temerloh, Pahang. Pasukan bersenjata khas Melayu ini telah dirasmikan sebagai Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM). TPNM telah didirikan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat di seluruh Malaya pada 19 Jun 1948.

Dalam perang gerila menentang penjajah British, Rejimen Ke-10 yang dirasmikan pada 21 Mei 1949 dengan pasukan asas 17 orang anggota adalah satu-satunya rejimen gerila TPNM yang dianggotai sepenuhnya oleh rakyat keturunan Melayu. Antara yang terlibat dalam penubuhan Rejimen Ke-10 ialah Abdullah CD, bekas anggota KMM (Kesatuan Melayu Muda) & PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), Musa Ahmad, bekas pemimpin BATAS (Barisan Tani Malaya), dan Wahi Anuar, bekas pemimpin PETA (Ikatan Pemuda Tanah Air).

Di bawah adalah lirik lagu rasmi Rejimen Ke-10 TPNM yang bertajuk “Kami Tentera Pembebasan Nasional” yang dinyanyikan buat pertama kali semasa perasmian Rejimen Ke-10 pada 21 Mei 1949.

KAMI TENTERA PEMBEBASAN NASIONAL
Kami Tentera Pembebasan Nasional
Selalu sedia untok membela nusa
Kalau musoh choba dekat menganchamkan ra’ayat
Biar bercherai badan dan nyawa untok pembebasan ra’ayat
Siapa berani choba menentang angkat tangan rampas senjata
Kami Tentera Pembebasan Nasional
Selalu bersiap bersedia bertempor
Biar tanah padang rumput berlumoran darah
Itulah kewajipan kami sebagai pembela ra’ayat
Biar negeri hanchor terbakar asal jangan dijajah lagi
Kami Tentera Pembebasan Nasional
Mara kehadapan di garisan muka
Siap menyerang musoh hingga hanchor lebor
Tentera Pembebasan Nasional chukop kuat semangat waja
Membentok Republik Ra’ayat kekal hidupnya abadi

Sumber gambar: Buku ‘Perjalanan Yang Cemerlang: 1930 – 1980’, diterbitkan oleh Pejabat Pembebasan Malaya, 1981

05-21-rejimen-10-1949