Pada hari ini dalam tahun 1950, seorang pejuang kemerdekaan berusia 17 tahun telah dihukum gantung sampai mati oleh kerajaan penjajah British.

Rosli Dhoby merupakan seorang anak muda keturunan Melanau yang berasal dari Kampung Pulo, Sibu, Sarawak. Beliau merupakan seorang anggota Rukun 13, sebuah pergerakan pemuda anti-penjajah yang berpusat di Sibu yang merupakan sebahagian dari Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). GPMS ditubuhkan untuk menentang penjajah British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua.

Kemuncak perjuangan GPMS tiba semasa Gabenor kedua penjajah British di Sarawak yang baru dilantik, Duncan George Steward membuat kunjungan pertamanya ke Sibu pada 3 Disember 1949. Rukun 13 yang dianggotai 13 ahli GPMS termasuk Rosli Dhoby telah sepakat untuk membunuh Gabenor British Sarawak semasa lawatan tersebut.

Pada jam 9:30 pagi hari tersebut, Rosli Dhoby telah menikam perut Gabenor Duncan dengan pisau badik, pisau tradisi masyarakat Melayu Sarawak. Gabenor Duncan telah dihantar ke Singapura untuk menerima rawatan, tetapi telah meninggal dunia 7 hari kemudian.

Rosli Dhoby telah ditangkap oleh penjajah British bersama-sama 3 orang sahabat seperjuangannya dalam Rukun 13, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek atas tuduhan percubaan membunuh Gabenor British Sarawak. Keempat-empat mereka telah dijatuhkan hukuman mati oleh penjajah British.

Selepas 3 bulan dipenjara di Penjara Pusat Kuching, Rosli Dhoby telah menghembuskan nafas terakhirnya di tali gantung pada 2 Mac 1950. Pada masa itu beliau berusia 17 tahun.

Sumber gambar: Portal rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby

rosly-dhoby-center-part