Genap 68 tahun dulu pada 17 Januari 1948, Mohamed Mustaza, bekas Penolong Setiausaha Agung PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) yang berasal dari Taiping, Perak telah menubuhkan sebuah parti baru bernama PERAM — Pemuda Radikal Melayu.

Parti ini ditubuhkan untuk menyatukan pemuda-pemuda Melayu kiri di Malaya dan Singapura dalam perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah British. Penubuhan PERAM boleh dilihat sebagai langkah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan selepas API (Angkatan Pemuda Insaf) telah diharamkan oleh penjajah British 6 bulan sebelumnya pada 17 Julai 1947.

Seperti API dan PKMM, PERAM turut sama membantah Perlembagaan Federation yang digubal oleh penjajah dengan kerjasama UMNO dan Raja-raja Melayu, dan menyokong Perlembagaan Rakyat yang disusun oleh PUTERA-AMCJA.

Sebulan selepas penubuhannya, PERAM telah mengeluarkan sebuah manifesto yang menyeru anak muda Melayu untuk bersatu dan berjuang untuk kemerdekaan Malaya.

Malangnya parti ini tidak bertahan lama. Pada 22 Disember 1948, PERAM telah dibubarkan oleh penjajah British di bawah undang-undang Darurat.

Sumber gambar: Akhbar The Straits Times, 22 Januari 1948

pemuda-radikal-melayu