13 Mac 1947

Pada hari ini dalam tahun 1947, seorang pejuang kemerdekaan telah ditangkap dan ditahan oleh polis dan Special Branch Kerajaan Penjajah British di bawah Ordinan Hasutan atas tuduhan menghasut.

Ordinan Hasutan (Sedition Ordinance) mula diperkenalkan oleh Kerajaan Kolonial British pada tahun 1938 sebagai salah satu cara untuk mereka membendung penentangan rakyat terhadap kerajaan penjajah dan menyekat gerakan kemerdekaan rakyat yang mula bangkit.

Pada petang Khamis, 13 Mac 1947, Ahmad Boestamam, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditahan oleh penjajah British dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengeluarkan, menerbitkan dan mencetak sebuah buku kecil bertajuk ‘Testament Politik API’. Buku ini dikatakan “mengandungi perkataan-perkataan menghasut” dan Boestamam dituduh “mengeluarkan perkataan ‘Merdeka dengan Darah’ yang berbaur hasutan.”

API merupakan sebuah gerakan politik kiri yang ditubuhkan pada 17 Februari 1946 di Ipoh, Perak. Buku ‘Testament Politik API’ yang dikarang oleh Boestamam telah menggariskan matlamat API untuk “berjuang mencapai kemerdekaan bangsa dan tanahair dengan segala jalan yang terbuka, dengan lembut jika boleh, dengan keras jika terpaksa.”

Ahmad Boestamam telah didapati bersalah oleh mahkamah penjajah dan dikenakan hukuman denda $1,400 atau 8 bulan penjara kerjaberat. Dengan bantuan wang dari rakan-rakan seperjuangan, beliau memilih untuk membayar denda untuk mengelak dari dipenjara.

Empat bulan kemudian pada 16 Julai 1947, API telah diharamkan oleh Gabenor Malayan Union. API merupakan pertubuhan politik pertama di Malaya yang diharamkan oleh Kerajaan Penjajah British sebelum Pengisytiharan Darurat pada bulan Jun 1948.

Setahun kemudian Ahmad Boestamam telah ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah British selama 7 tahun di bawah Undang-undang Darurat.

Ordinan Hasutan telah dikekalkan oleh Kerajaan Perikatan yang menggantikan Kerajaan Kolonial British pada tahun 1957. Kini ia dikenali dengan nama Akta Hasutan.

03-13-boestamam-api-1947

Leave a Reply