Bagi Siri Syarahan Umum yang kelima ini, kami menampilkan sosok yang tidak lagi asing dalam dunia kesusasteraan Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara (1991); Tokoh Akademik Negara (2008)) dengan judul syarahannya “Sekilas Kerelevanan Sastera Untuk Rakyat”.

Tarikh / Hari: 10 November 2023 / Jumaat
Waktu: 3:00 Petang
Lokasi (secara fizikal):  Bilik Teratai, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Pautan video:

Abstrak Syarahan:

Sastera ialah suatu seni penting dalam kehidupan manusia Melayu-Nusantara, dan dicipta berterus-terus sejak ribuan tahun yang lalu. Kita melihat sejumlah manusia – raja dan pahlawan, permaisuri dan puteri, jejaka dan gadis yang dilukis sebagai watak-watak sempurna, tanpa cacat celanya. Di dalamnya, dilukis dengan warna dan berus imaginasi, ditambah dengan bahasa baik. Demikianlah kita membacanya dan menikmati dunia ini serta dirangsang untuk menurut contoh di depan kita. Sastera itu benar dalam maksud paralelnya, dalam maksud simbolik atau metaforanya dan maksud bayangan situasinya. Walaupun tidak nyata, namun makna umum masih dapat ditarik daripada sesebuah cerita atau puisi. Oleh itu kebenarannya berbayang tentang manusia dan kehidupan. Malah, beberapa sifat dan kecenderungan umum – seperti berperang, berdamai suka fitnah menfitnah, dan berasmara. Kita lihat sastera Melayu selalu juga membawa pengajaran, teladan dan contoh untuk diikuti oleh khalayaknya. Sastera Melayu secara kolektif boleh dikesan cita rasanya kerana yang baik dan indah selalu diulang, dan juga mendapat respons yang baik daripada khalayaknya. Sastera dan seni memanusiakan, menghaluskan watak dan mendirikan peribadi khalayak. Sastera mengajar secara tidak langsung dan mengesan bawah-sedar, maka kesannya lebih lama dan kekal.

Biografi Pensyarah:
Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah berkhidmat selama lebih 40 tahun di tiga buah universiti di Malaysia, dan juga dijemput mengajar di Amerika Syarikat, Brunei, Jerman dan Netherlands. Beliau menerima ‘fellowship’ dari universiti-universiti di Amerika Syarikat, Jepun dan Netherlands. Kini, beliau dilantik pula menjadi Profesor Adjung (Sasterawan di Universiti) di beberapa buah universiti di Malaysia. Sebagai tanda pengiktirafan sumbangan akademik dan kreatif yang luas dan canggih ini, beliau dipilih sebagai Sasterawan Negara Malaysia (1991), dan Tokoh Akademik Negara (2008) serta Profesor Emeritus (2009), dan penerima Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia bagi kategori dewasa (bahasa Inggeris) (2020).
Biografi Pemudahcara & Pembincang Syarahan:
Dr. Abdul Muqit Muhammad merupakan seorang pensyarah kanan di Akademi Pengajian Melayu. Bidang tujahannya ialah sosio-politik Melayu dan pemikiran Melayu-Islam.

Anjuran:

Siri Syarahan Umum ini merupakan anjuran #PusatSejarahRakyat dengan kerjasama Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya & Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya