Seperti apa kita mahu merenung semula tahun 2023 pada masa akan datang? Bagaimanakah para wartawan di seantero dunia sedang menangkap nuansa dan cabaran yang wujud di kelilingnya hari ini? Dari beragam konflik politik yang berlaku; perang Rusia – Ukraine yang masih berlangsung, genosida di Palestin oleh Israel sedari Oktober lalu sehinggalah pada derasnya kemunculan bermacam pelantar Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) yang sekaligus merancakkan lagi berleluasanya teori konspirasi seputar sosio-politik yang mencengkam faham masyarakat. Sekaligus, industri kewartawanan pasti turut terkesan dengan perkembangan pesat yang sebegitu di era kita ini.
Said Zahari (1928 – 2016); tokoh wartawan yang kita raikan ini barangkali tidak merasa kesan langsung perkembangan teknologi AI di zamannya. Namun, beliau pastinya sedar akan bagaimana konspirasi sosio-politik memberi kesan kepada para wartawan yang segenerasi dengannya. Mengolah persetujuan (manufacturing consent) dalam mengabsahkan tindakan kejam dan rancaknya fitnah tidak hanya wujud di zaman AI memuncak. Lama dahulu, Said Zahari sendiri berhadapan tribulasi yang sekaligus memaksa dirinya ditahan tanpa bicara kerana memilih pena sebagai senjata dalam menyampaikan kebenaran saat Operasi Cold Store digencar.
Dalam perkembangan semasa berkaitan kemasukan Israel ke wilayah Palestin sehingga awal Disember 2023, Anthony Bellanger, Setiausaha Agung kepada International Federation of Journalists, memaklumkan bahawa secara purata, seorang pekerja media dan wartawan meninggal dunia setiap hari sejak bermulanya pengeboman. Sejumlah 60 orang wartawan di baris hadapan, majoritinya rakyat Palestin, dilaporkan menemui ajal saat perang meletus sekaligus mencatatkan rekod terburuk kematian di rantau Timur Tengah ini.
Ironinya, penjajahan Israel ke atas Palestin ini menyaksikan sejarah keganasan terhadap wartawan berulang dan barangkali rekod kematiannya juga akan dipecahkan. Perang Vietnam menjadi perang pertama dilaporkan secara langsung di televisyen, sekaligus mencatatkan lebih 60 orang wartawan terbunuh. Sejarah malang peradaban manusia berulang. Peristiwa yang berlaku ke atas warga Palestin kini bahkan menjadi genosida pertama yang berlaku secara langsung bukan sahaja di pelantar berita arus perdana, malahan di seluruh media sosial.
Said Zahari yang berada di tengah denyut nadi perjuangan pembebasan nasional; dari Malaya-Singapura menolak imperialis British, sehinggalah ke perjuangan rakyat Vietnam menolak Amerika, cukup memberi kesan kepada kepengarangannya. Puisi yang berjudul ‘Uncle Ho’ menjadi saksi kepada dukungannya bersama perjuangan rakyat yang tertindas di mana sahaja:
Sentiasa berdiri di baris depan
menentang penjajahan
menentang pencerobohan
menentang penindasan
memberikan seribu satu pengorbanan
tanpa mengira bahaya diri
atau menghitung kesenangan sendiri.
Perjuangannya bergema ke serata dunia
namanya disebut di mana-mana saja
menjelma menjadi titik ilham
pejuang-pejuang kebebasan
pencinta-pencinta keadilan.
Semangat Said Zahari yang begitulah akan terus mengalir dalam gema ingatan kita semua. Jelas, menerusi catatan biografi serta penulisan kreatifnya, cita-cita politik yang progresif terus dikembangkannya. Komited kepada keadilan sosial, juara kebebasan akhbar yang tidak kenal lelah dan seorang nasionalis yang menolak politik perkauman, legasi Said Zahari menjadi inspirasi buat kita semua. Sebagai penghormatan pada legasi ini, Pusat Sejarah Rakyat bersama waris keluarga Said Zahari melancarkan Anugerah Wartawan Muda Said Zahari buat tahun kelima berturut-turut bagi edisi tahun 2023 / 24.
Mula berkhidmat sebagai wartawan bagi suratkhabar Utusan Melayu pada tahun 1951, Said Zahari kemudian dilantik sebagai editor Utusan Melayu yang berpusat di Kuala Lumpur pada tahun 1959. Sebagai seorang wartawan berintegriti tinggi, beliau teguh mempertahankan kebebasan akhbar daripada tekanan parti pemerintah. Penglibatannya di lapangan aktivisme politik sekaligus mengakibatkan beliau disingkir dari Malaya. Sekembalinya beliau ke Singapura, beliau dilantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura pada 1 Februari 1963, namun sehari kemudiannya beliau ditangkap di bawah Operasi Coldstore dan dipenjara tanpa bicara selama 17 tahun.
Meneruskan bara semangat yang sama, anugerah ini mendapat cukup banyak penyertaan daripada wartawan muda seluruh Malaysia. Bermula pada tahun 2019, Chiew Huiyee, menerusi rencananya yang berjudul ‘Bajau Laut: Once sea nomads, now stateless’ berjaya merangkul anugerah ini pada tahun pertamanya. Pada tahun 2020 pula, anugerah ini diperolehi oleh Zaim Aiman Ibrahim dengan artikelnya berjudul ‘Pesawah buat benih sendiri untuk lawan kartel padi‘. Tahun 2021 pula, Law Yao Hua menerusi karangannya, “Cut, Carved and Cleared, When Big Forests Go” mendapat perhatian juri dalam membincangkan isu alam sekitar dengan mendalam. Bagi tahun 2022 / 23 pula, wartawan bebas, Liani MK dinobatkan selaku penerima anugerah menerusi karyanya berjudul “Amid Tourism Push, Malaysia Keeps Binational Families Apart” dalam menangkap kerumitan ahli keluarga dengan dwi-kewarganegaraan yang terjejas akibat pengawalan pergerakan sewaktu wabak Covid-19.
Dengan fokus rencana melibatkan isu terpinggir serta masyarakat terbanyak, para pemenang anugerah berjaya mengetengahkan legasi kewartawanan Said Zahari. Bagi merancakkan lagi penyertaan bagi tahun 2023/24 ini, kami menjemput wartawan muda, termasuk pelajar, berumur 18 hingga 39 tahun, dari seluruh Malaysia untuk menghantar karya yang telah diterbitkan dalam tempoh sepanjang 12 bulan yang lalu dalam tahun 2023 / 24. Panel juri akan menilai dan memilih cerita dan laporan yang menonjolkan prinsip keadilan sosial, merancakkan perbincangan sivil, dan berpotensi untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.
Para juri akan mempertimbangkan laporan berita dalam pelbagai media dan format penulisan (lebih 800 patah perkataan) yang telah diterbitkan dalam tempoh masa 12 bulan sebelum tarikh tutup. Selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, penyertaan laporan berita dalam bahasa vernakular juga dialu-alukan dengan syarat dilampirkan terjemahan (dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris).
Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00 dan tambahan RM2,000.00 untuk perbelanjaan penyertaan aktiviti pendedahan dan pembinaan kapasiti (seperti bengkel, festival, lawatan belajar dll.) berkaitan kewartawanan dan hak asasi manusia.
Penyertaan dibuka dari 15 Disember 2023 sehingga 20 Januari 2024. Borang penyertaan boleh didapati di pautan INI.