2022 tahun yang cukup berwarna – hitam, putih atau kelabu – bagi kita semua di Malaysia. Dengan Covid yang masih membelenggu serta krisis sosio-politik yang dialami, begitu banyak perkara yang membangkitkan rasa ingin tahu dan keterlibatan masyarakat. Sekaligus, peranan wartawan dalam melapor dan mengarang berita cukup penting bagi memastikan masyarakat menyedari akan perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Pilihanraya ke-15 yang baru selesai sekaligus membuka kemungkinan politik yang baharu. Sekali lagi, peranan wartawan cukup ditagih dalam memastikan ruang perbincangan dapat dibuka. Menuju ke pilihanraya lalu, kita dapat melihat bagaimana fenomena ‘berita palsu’ (fake news) bertebaran dengan nada perkauman dan agama dipermainkan bagi memenangi undi. Bahkan, rusuhan kaum 13 Mei juga digunakan bagi melaga-lagakan serta menakut-nakutkan rakyat khususnya di laman media sosial seperti Tik Tok.

Hal sebegitu bukanlah sesuatu yang asing dalam pengalaman Said Zahari (1928 – 2016), tokoh besar kewartawanan rantau ini. Selepas rusuhan 13 Mei 1969 berlaku, beliau mengarang sebuah puisi berjudul “Tangan-Tangan Yang Tersembunyi”. Di dalam bait puisinya, beliau mengarang:

Sekali lagi,

Warna, bangsa, ugama dan bahasa,

Menjadi mata pisau tajam,

Digunakan mencucurkan darah.

Said Zahari, selaku wartawan, penyair, aktivis serta sosok ahli politik begitu tegas menolak penggunaan isu perkauman dan keagamaan digunakan dalam memecah-belahkan rakyat. Menerusi catatan biografi serta penulisan kreatifnya, cita-cita politik yang progresif terus dikembangkannya.

Mula berkhidmat sebagai wartawan bagi suratkhabar Utusan Melayu pada tahun 1951, Said Zahari kemudian dilantik sebagai editor Utusan Melayu yang berpusat di Kuala Lumpur pada tahun 1959. Sebagai seorang wartawan berintegriti tinggi, beliau teguh mempertahankan kebebasan akhbar daripada tekanan parti pemerintah. Penglibatannya di lapangan aktivisme politik sekaligus mengakibatkan beliau disingkir dari Malaya. Sekembalinya beliau ke Singapura, beliau dilantik sebagai Ketua Umum Parti Rakyat Singapura pada 1 Februari 1963, namun sehari kemudiannya beliau ditangkap di bawah Operasi Coldstore dan dipenjara tanpa bicara selama 17 tahun.

Komited kepada keadilan sosial, juara kebebasan akhbar yang tidak kenal lelah dan seorang nasionalis yang menolak politik perkauman, legasi Said Zahari menjadi inspirasi buat kita semua. Sebagai penghormatan pada legasi ini, Pusat Sejarah Rakyat bersama waris keluarga Said Zahari melancarkan Anugerah Wartawan Muda Said Zahari buat tahun keempat berturut-turut pada tahun 2022.


Anugerah ini mendapat cukup banyak penyertaan daripada wartawan muda seluruh Malaysia pada tahun kedua dan pertama ia dilancar. Pada tahun 2019, Chiew Huiyee, menerusi rencananya yang berjudul ‘Bajau Laut: Once sea nomads, now stateless berjaya merangkul anugerah ini pada tahun pertamanya. Pada tahun 2020 pula, anugerah ini diperolehi oleh Zaim Aiman Ibrahim dengan artikelnya berjudul ‘Pesawah buat benih sendiri untuk lawan kartel padi‘. Tahun 2021 pula, Law Yao Hua menerusi karangannya, “Cut, Carved and Cleared, When Big Forests Go” mendapat perhatian juri dalam membincangkan isu alam sekitar dengan mendalam.

Dengan fokus rencana melibatkan isu terpinggir serta masyarakat terbanyak, kedua-dua pemenang anugerah berjaya mengetengahkan legasi kewartawanan Said Zahari. Bagi merancakkan lagi penyertaan bagi tahun 2022 ini, kami menjemput wartawan muda, termasuk pelajar, berumur 18 hingga 39 tahun, dari seluruh Malaysia untuk menghantar karya yang telah diterbitkan dalam tempoh sepanjang 12 bulan yang lalu dalam tahun 2022. Panel hakim akan menilai dan memilih cerita yang menonjolkan prinsip keadilan sosial, merancakkan perbincangan sivil, dan berpotensi untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.


Para panel akan mempertimbangkan cerita dalam pelbagai media dan format penulisan (lebih 800 patah perkataan) yang telah diterbitkan dalam tempoh masa 12 bulan sebelum tarikh tutup. Selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, penyertaan laporan berita dalam bahasa vernakular juga dialu-alukan dengan syarat dilampirkan terjemahan (dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris).

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.00 dan tambahan RM2,000.00 untuk perbelanjaan penyertaan aktiviti pendedahan dan pembinaan kapasiti (seperti bengkel, festival, lawatan belajar dll.) berkaitan kewartawanan dan hak asasi manusia.

Penyertaan dibuka dari 26 Disember 2022 sehingga 23 Januari 2023. Borang penyertaan boleh didapati di pautan INI