Pada hari ini dalam tahun 1947, telah berlangsung sebuah persidangan besar pertubuhan-pertubuhan politik kiri Melayu di Kuala Lumpur bertempat di Ibu Pejabat PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) di Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman).

Lebih dari 100 pertubuhan-pertubuhan politik dan persatuan-persatuan dari seluruh Malaya dan Singapura telah menghantar wakil dalam persidangan tersebut, termasuklah PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), BATAS (Barisan Tani Se-Malaya), GERAM (Gerakan Angkatan Muda), dan Lembaga Persatuan Melayu Johor.

Persidangan itu telah mencapai persetujuan untuk melahirkan sebuah badan politik baru untuk menggabungkan semua pertubuhan-pertubuhan kiri Melayu di Malaya dan Singapura. Persidangan itu juga telah menerima secara sebulat suara cadangan dari perwakilan API untuk menamakan badan baru itu Pusat Tenaga Rakyat, dan nama singkatannya PUTERA.

Persidangan itu juga telah memilih Ishak Haji Muhammad (Naib Yang Dipertua PKMM) sebagai Pengerusi pertama badan politik baru itu.

Sejuruh selepas ditubuhkan, PUTERA telah mengambil langkah untuk bergabung dengan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA), membentuk barisan bersatu PUTERA-AMCJA untuk menentang Perlembagaan Federation ciptaan penjajah British dengan kerjasama UMNO dan Raja-raja Melayu.

Pada 10 Ogos 1947, PUTERA-AMCJA telah menggubal sebuah Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif kepada Perlembagaan Federation.

Pada 20 Oktober 1947, untuk memperhebatkan bantahan mereka terhadap Perlembagaan Federation, PUTERA-AMCJA telah melancarkan mogok Hartal di seluruh Malaya dan Singapura.

02-22-pusat-tenaga-rakyat-1947