Pada hari ini dalam tahun 1972, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan persetujuan mereka terhadap tuntutan gerakan pekerja untuk menjadikan tarikh 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan hari kelepasan am di seluruh Malaysia.
Pengumuman itu telah dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972.
Perjuangan gerakan pekerja untuk menuntut Hari Pekerja sudah bermula sejak zaman sebelum Merdeka apabila badan induk gabungan kesatuan sekerja di seluruh Malaya, PMFTU (Pan-Malayan Federation of Trade Union) telah membuat tuntutan itu pada tahun 1947.
Sejak tahun 1959, pekerja-pekerja seluruh negara yang bersatu di bawah MTUC (Malayan Trade Union Congress) telah menyuarakan sokongan dan tuntutan mereka supaya 1 Mei diterima sebagai Hari Pekerja.
Pada tahun 1960, aktivis kesatuan sekerja dan ahli Parlimen Bangsar, V. David, telah mengemukakan usul di Parlimen supaya 1 Mei ditetapkan sebagai Hari Buruh dan hari kelepasan am. Tetapi usul ini telah ditolak oleh parti pemerintah.
Antara alasan yang diberikan oleh kerajaan ialah sudah terlalu banyak hari kelepasan umum di Malaya ketika itu dan cuti Hari Pekerja akan merugikan ekonomi negara. Kerajaan juga memberi alasan bahawa pengganas-pengganas komunis akan menggunakan Hari Pekerja nanti untuk menghasut kaum pekerja menentang kerajaan. Kerajaan turut mencadangkan supaya tarikh Hari Pekerja ditukar ke hari lain kerana 1 Mei adalah hari yang disambut oleh golongan komunis.
Walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan, sambutan Hari Pekerja tetap dijalankan secara tidak rasmi oleh kesatuan-kesatuan sekerja di Malaysia pada 1 Mei setiap tahun sepanjang tahun 1960-an dan awal 70-an.
Hasil dari desakan dan perjuangan tanpa henti gerakan pekerja, akhirnya kerajaan bersetuju untuk menjadikan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan hari kelepasan am di seluruh Malaysia mulai 1 Mei 1973.