Pada hari ini dalam tahun 1948, Ketua API (Angkatan Pemuda Insaf), Ahmad Boestamam telah ditangkap oleh penjajah British di bawah Undang-undang Darurat.

Beliau telah ditangkap di kampungnya di Perak, 13 hari selepas penjajah British mengisytiharkan darurat di seluruh Malaya. Beliau telah dipenjara selama 7 tahun sebelum dibebaskan pada 28 Jun 1955.

Selain Boestamam, beratus-ratus aktivis kiri dan pejuang anti-penjajah lain telah ditangkap di bawah Undang-undang Darurat.

Pengalaman yang beliau lalui semasa berada dalam tahanan darurat telah beliau ceritakan dalam buku memoir berjudul “Tujuh Tahun Malam Memanjang” (diterbitkan pada tahun 1976).

Dalam sebuah rencana dalam akhbar Berita Harian bertarikh 28 November 1978, Boestamam telah menulis:
“Undang-undang Darurat membunuh keseluruhan badan-badan kiri yang ada di tanahair ketika itu. Ramai anggota-anggotanya yang tidak dicekup oleh jaring Undang-undang Darurat ini melarikan diri ke dalam hutan untuk memulakan “perang gerila” dengan dipelopori oleh orang-orang komunis.”

“Ada juga orang-orang PKMM dan API yang turut menggabungkan diri mereka dalam tindakan mengangkat senjata ini. Mereka didorong lebihnya oleh perasaan membalas dendam dan melepaskan geram kepada penjajah Inggeris yang telah berlaku kasar terhadap mereka dan gerakan mereka, terutamanya pengharaman atas API dulu, daripada oleh sebab-sebab yang lain.”

“Dengan tiadanya lagi badan-badan kiri untuk berjuang secara perlembagaan di tanahair setelah pengisytiharan darurat ini, maka dengan sendirinya lahirlah suatu kekosongan — suatu vacuum — dalam arena politik Malaya. Kekosongan inilah yang serta merta diisi oleh UMNO, satu-satunya badan yang tinggal halal pada ketika itu, bagi membolehkannya mencapai kejayaan besar seperti yang dipegang sekarang ini.”

Sumber: Akhbar Berita Harian, 28 November 1971 dan The Straits Times, 30 June 1955

hids-1-julai-boestamam