Allahyarham Puan Rohani Zainal Abidin (bertudung hitam). Sumber gambar: Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail

Kami di Pusat Sejarah Rakyat (PSR) menerima khabar dukacita tentang pemergian Allahyarhamah Rohani Zainal Abidin, yang meninggal dunia pada jam 10.15 pagi hari Isnin 8 Julai 2024 di Hospital KPJ Ampang Puteri Kuala Lumpur.  Bagi pihak PSR, kami ingin menyampaikan  takziah yang mendalam kepada kedua-dua anakanda beliau, Azrani dan Ariani, serta kepada kaum keluarga yang lain atas kehilangan ini.

Beliau seorang yang peka terhadap ilmu, persuratan dan sejarah. Beliau aktif khususnya dalam bidang bahasa, sastera dan budaya sejak zaman persekolahannya  pada awal 1960-an  semasa menuntut di Convent Bukit Nenas KL.

Semasa di Universiti Malaya, beliau juga merupakan salah seorang aktivis pelajar wanita yang penting. Beliau menjadi salah seorang pemimpin pelajar dan ahli Jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada sekitar tahun 1967-68. Beliau aktif menyokong perjuangan rakyat khususnya perjuangan kaum tani yang dipimpin oleh Hamid Tuah.

Puan Rohani memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari Universiti Malaya pada tahun 1969, dan memperoleh kelayakan profesional dalam bidang kepustakawanan daripada New Zealand Library School, Wellington pada 1970. Beliau seterusnya memperoleh ijazah MA dalam Library and Information Studies daripada University College, University of London pada 1975.

Beliau menceburi bidang kepustakawanan sebagai kerjaya di beberapa buah perpustakaan negara kita, termasuk Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Awam Negeri Selangor dan Perpustakaan Universiti Putra Malaysia. Namun, beliau paling lama berkhidmat sebagai pustakawan di Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1977, bahkan menerajui jawatan Ketua Pustakawan di DBP sehingga bersara pada 2001. Semasa menjabat jawatan sebagai Ketua Pustakawan DBP, beliau turut menjadi ketua Pusat Dokumentasi Melayu untuk satu masa yang lama. Bagi memperkenalkan peranan Pusat Dokumentasi Melayu DBP, beliau menerbitkan sebuah artikel penting bertajuk, “The Malay Documentation Centre of the Dewan Bahasa dan Pustaka (Malaysia): From Philology to the Social Sciences” dalam Alexandria: The Journal of National and International Library and Information Issues, Jilid 18 Bilangan 2, Ogos 2006 (halaman 103–110). Selain itu, beliau telah menulis dan menyunting beberapa buah buku mengenai pelbagai tema daripada literasi dan pentingnya budaya membaca kepada impak sosial akibat globalisasi.

Puan Rohani juga aktif dalam Persatuan Pustakawan Malaysia (Librarians’ Association of Malaysia), bahkan menjadi Presiden Persatuan tersebut sebanyak dua penggal, iaitu 1976-77 dan 1981-82. Beliau menganjurkan bengkel Program Literasi Bagi Kaum Wanita Luar Bandar tajaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan UNESCO (1984-85) serta menjadi pengurus projek bagi menyiapkan “Standards and Training Manual for Village Libraries in South-East Asia”, sebuah projek anjuran Asia-Pacific Cultural Centre for UNESCO, Tokyo Office (1991–1993). Walaupun setelah bersara daripada DBP pada 2001, beliau terus aktif dalam kegiatan mengembangkan budaya ilmu, khususnya dengan membina kemahiran mengurus perpustakaan bagi meningkatkan pendidikan masyarakat miskin dan memerlukan. Beliau terlibat dalam Misi IQRA Persatuan Pustakawan Malaysia untuk memberi bantuan dalam membangun semula kemudahan perpustakaan di wilayah Aceh setelah dilanda tsunami pada akhir 2004.

Puan Rohani ialah balu kepada Allahyarham Rustam Sani, seorang pengarang prolifik, tokoh pemikir dan intelektual awam tersohor yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan felo kanan di Institut Kajian Strategik dan Antrabangsa (ISIS), Kuala Lumpur. Dengan sokongan padu daripada isterinya Rohani, Allahyarham Rustam menjadi seorang kolumnis akhbar arus perdana dan juga pejuang Reformasi dan blogger yang berpengaruh. Sebagai balu kepada arwah Rustam Sani, Puan Rohani juga merupakan menantu kepada tokoh  nasionalis dan pejuang kemerdekaan yang agung, Allahyarham Ahmad Boestamam.

Puan Rohani ialah seorang ahli Lembaga Pengarah Pusat Sejarah Rakyat (PSR) yang awal apabila PSR mula beroperasi pada tahun 2011 dan bersama-sama mencorakkan objektif serta hala tuju PSR. Namun disebabkan masalah kesihatan, beliau memohon izin mengundurkan diri beberapa tahun kemudian. Kami tetap mengenang sumbangan beliau sebagai seorang ahli Lembaga PSR, juga sebagai seorang sahabat, rakan seperjuangan dan juga seorang tokoh pustakawan negara kita, khususnya sebagai peneraju perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga sumbangan sekaligus jasa-jasa beliau yang lain.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah!

Ikhlas daripada Ahli Lembaga Pusat Sejarah Rakyat.