Poster Belasungkawa Dr. Syed Husin Ali

1. Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, kami menerima berita pemergian Dr Syed Husin Ali, ahli sains sosial tersohor, intelektual awam dan pejuang rakyat yang gigih yang telah meninggalkan legasi yang berkekalan dalam dunia akademik, dalam bidang politik progresif, serta dalam sejarah perjuangan membela kepentingan rakyat semua kaum di negara kita. Beliau seorang tokoh yang disegani dan jujur dengan integriti yang utuh, merendah diri tetapi dengan keberanian yang tidak ditonjolkan. Beliau meninggal dunia pada usia 87 tahun akibat penyakit kanser pada jam 12.20 pagi 29 Jun 2024 di Hospital Selayang selepas bertarung dengan penyakit itu selama beberapa bulan. Kami menyampaikan salam takziah dan rasa duka yang mendalam kepada anakanda-anakanda beliau serta seluruh kaum keluarga. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada kaum keluarga, para sahabat dan ramai bekas pelajarnya, rakan seperjuangannya yang telah menempuh susah payah bersama dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, serta satu kerugian besar kepada negara. Tanah air berduka atas pemergian patriot agung yang tidak mementingkan diri ini yang telah mengabdikan seluruh hidupnya demi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang adil, demokratik, aman, bersatu dan progresif!

2. Dr Syed Husin Ali (lebih mesra dengan panggilan Pak Syed) ialah seorang Profesor Sosiologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya yang telah bersara pada 1990 selepas 28 tahun berkhidmat di UM. Beliau dilahirkan di Batu Pahat, Johor, pada 23 September 1936 dan mempunyai tujuh orang adik beradik termasuk dirinya. Orang tuanya berasal dari keturunan Kesultanan Siak, Sumatera. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sabariah Abdullah, anak kelahiran Kelantan dan dikurniakan tiga orang anak. Puan Sabariah mendahului Pak Syed dan meninggal dunia pada tahun 2013.

3. Setelah tamat pendidikan menengah, Pak Syed melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya di Singapura dengan memperoleh B.A. Hons pada tahun 1959 dan MA pada tahun 1962. Pada tahun 1963, beliau dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, yang pada masa itu sudah berdiri di Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya memperoleh Ph.D. dalam bidang Antropologi Sosial dari London School of Economics and Political Science (LSE), University of London pada tahun 1973.

4. Pak Syed adalah seorang tokoh sarjana terkemuka dengan kerjaya akademik yang cemerlang. Sebagai salah seorang ahli sosiologi perintis di negara ini, beliau adalah profesor madya dan ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM pada tahun 1971, dan profesor penuh pada tahun 1980 sehingga bersara sepuluh tahun kemudian untuk menyertai politik sepenuh masa. Selama bertahun-tahun itu, beliau telah mendidik ramai pelajar, sebilangan daripada mereka kemudiannya terkenal dalam pelbagai bidang termasuk politik, antara yang paling terkemuka ialah YAB Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pak Syed juga merupakan salah seorang daripada enam pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan secara rasmi pada Mei 1970.

5. Pak Syed mempunyai keprihatinan yang mendalam terhadap keadilan, khususnya nasib golongan miskin dan tertindas. Beliau gigih memperjuangkan kepentingan mereka, contohnya perjuangan Hamid Tuah dan kaum tani tak bertanah di Selangor pada 1960-an. Beliau juga tegas menyokong perjuangan setinggan bandar, kaum tani di Baling, Kedah, dan para pelajar yang bangkit memperjuangkan kepentingan rakyat. Perjuangan ini memuncak dalam bentuk satu siri demonstrasi besar-besaran pada akhir 1974 di Kuala Lumpur. Berikutan penindasan secara besar-besaran oleh kerajaan pada Disember tahun itu yang membawa kepada penahanan ramai pemimpin pelajar dan intelektual, Profesor Syed Husin telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama enam tahun sehingga dibebaskan pada 1980.

6. Seorang penulis prolifik dalam dwibahasa yang meneruskan minatnya dalam menulis sehingga akhir hayatnya, Pak Syed meninggalkan warisan yang kaya raya untuk generasi baharu. Beliau menulis dan menyunting kira-kira 20 buah buku, lebih 100 kertas kerja untuk jurnal, dan banyak artikel untuk media tempatan. Antara bukunya yang terkenal ialah: Stratifikasi Sosial Kampung Bagan (1964); Masyarakat dan Kepimpinan Petani Melayu (1975); Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan Mereka (1981; ditulis dalam penjara); Hubungan Etnik di Malaysia: Konflik dan Keharmonian (2015); Sejarah Rakyat Malaysia (2018); dan terbaharu pada 2023, ialah Tokoh-tokoh Pejuang Rakyat, sebuah buku suntingan bersama dua penulis yang lain. Beliau juga menghasilkan dua buah memoir: Dua Wajah yang memerikan kisah-kisah semasa dalam tahanan di bawah ISA, serta Memoir Politik Syed Husin Ali.

7. Profesor Syed Husin juga terkenal di peringkat antarabangsa. Beliau ialah seorang penyelidik dan perunding dengan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) dan UNESCO, serta menghasilkan beberapa laporan penilaian mengenai gerakan pekerja dan wanita untuk badan antarabangsa. Beliau pernah menjadi Felo Pelawat Akademi British, di Universiti Cambridge pada tahun 2005. Beliau juga ahli Misi Antarabangsa untuk Menyiasat Genosid di Bangkok, anggota Panel Hakim Tribunal Rakyat mengenai Ancaman Perindustrian dan Alam Sekitar di Bhopal, India, dan Siasatan Antarabangsa mengenai Orang Terlantar di Sri Lanka.

8. Pak Syed merupakan seorang tokoh yang terkenal dalam politik negara terutamanya selepas bersara dari universiti. Beliau merupakan bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) (1990-2003), dan kemudiannya menjadi salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Timbalan Presidennya apabila PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional menjadi PKR ketika itu. Beliau merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR dan Ahli Biro Politiknya, serta dilantik sebagai Senator Dewan Negara antara 2009-2015.

9. Semasa beliau pada zaman pelajar antara tahun 1956 hingga 1959, Pak Syed sangat aktif sebagai pemimpin pelajar. Beliau menjadi Setiausaha dan kemudian Presiden Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM); beliau juga pernah menjadi Setiausaha Agung serta sebagai Timbalan Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Beliau juga aktif dalam bidang sastera, dan menjadi pengasas Persatuan Penulis Nasional (PENA) serta pernah menyandang jawatan Setiausaha PENA selama lima tahun. Dalam tempoh lebih sepuluh tahun terakhir hayatnya, beliau aktif memimpin Pusat Sejarah Rakyat (PSR) sebagai Pengerusi lembaga pengarahnya. Misi PSR adalah untuk mengkaji semula sejarah dari perspektif rakyat, dan telah menerbitkan karya beliau, Sejarah Rakyat Malaysia.

10. Sebagai seorang pemikir dan intelektual awam serta salah seorang sarjana perintis sains sosial Malaysia, Profesor Syed Husin mempunyai hubungan erat yang lama dan berkekalan dengan Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM). Malah, sejurus selepas dibebaskan pada tahun 1980, beliau telah dipilih sebagai Presiden PSSM dan memimpinnya selama sepuluh tahun sehingga 1990. Sebuah festschrift atau karya penghormatan untuk beliau telah diterbitkan oleh PSSM pada tahun 1996 bertajuk Malaysia, Perspektif Kritis: Esei Penghormatan untuk Syed Husin Ali disunting oleh Ikmal Said & Zahid Emby. Pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Malaysia yang ke-13 (MSC13) pada Ogos 2023, PSSM telah menyampaikan penghormatan tertinggi kepada beliau dengan Anugerah Khas “Mahaguru Ulung Perintis Sains Sosial Malaysia” atas sumbangan cemerlangnya kepada sains sosial dan komitmennya terhadap keadilan sosial di negara kita.

11. Pemergian Profesor Syed Husin Ali menandakan berlabuhnya tirai suatu era bersejarah zaman pasca merdeka yang telah melahirkan ramai sarjana, cendekiawan, pemimpin dan pemikir yang cemerlang yang telah mencorakkan perjalanan sejarah tanah air kita. Pemergian beliau adalah suatu hari yang sedih bagi Malaysia.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah!

Oleh: Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong (Ahli Lembaga Pengarah Pusat Sejarah Rakyat serta Penasihat Khas dan Mantan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM)