Pada 21 September 2024, sebuah Majlis Memperingati Allahyarham Profesor Syed Husin Ali telah diadakan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sebagai sarjana aktivis tersohor di bidang sains sosial, Dr. Syed Husin Ali juga merupakan seorang insan luar biasa. Seperti dirakam oleh salah seorang teman karib yang turut menggerakkan Pusat Sejarah Rakyat, Profesor Emeritus Abdul Rahman Embong di dalam bahagian pengenalan naskhah ‘Profesor Syed Husin Ali Dalam Kenangan‘:

“...Beliau seorang insan biasa dengan daya usaha, semangat juang dan sejarah yang luar biasa. Beliau semasa hayatnya telah berkhidmat di Universiti Malaya selama hampir 30 tahun semenjak awal 1960-an dan mendidik begitu ramai mahasiswa. Pada kemuncak gerakan mahasiswa pada 1974, beliau ditahan selama enam tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dari 1974 hingga 1980. Setelah dibebaskan, beliau meneruskan tugasnya sebagai pensyarah serta memimpin Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) selama 10 tahun sehingga 1990. Beliau terpaksa bersara pada tahun itu untuk menceburi bidang politik progresif dengan menerajui Parti Rakyat Malaysia yang kemudian bergabung dengan Parti Keadilan Nasional menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau juga dilantik selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Negara. Dalam belasan tahun terakhir hayatnya, beliau mendirikan Pusat Sejarah Rakyat (PSR) pada 2011 dengan beliau selaku Pengerusi. PSR ialah, sebuah organisasi yang bertujuan meneliti semula sejarah daripada perspektif rakyat…”

Sepanjang majlis memperingati, wakil ahli keluarga, rakan taulan, kenalan lama serta rakan seperjuangan Allahyarham Profesor Syed Husin Ali turut berkongsi ruang dan ingatan akan jasa dan bakti beliau di dalam bidang politik serta kesarjanaan, khususnya dalam landskap antropologi, sosiologi, juga sejarah rakyat Malaysia.

Majlis digerakkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong dan barisan penganjur, Universiti Malaya (UM), Pusat Sejarah Rakyat (PSR), Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), Majlis Belia Malaysia, Naratif Malaysia, Gerakbudaya, Lestari Hikmah, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) & Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK).