Teks ini merupakan ucapan oleh Profesor Emeritus Abdul Rahman Embong, Editor Puisi Dari Penjara (Edisi Baharu) bagi pelancaran buku Puisi Dari Penjara oleh Said Zahari serta pengumuman Anugerah Wartawan Muda Said Zahari 2022 pada tanggal 19 Mac 2022 jam 2 petang.
1. Saudara Pengacara Majlis, Pengerusi Pusat Sejarah Rakyat, Prof Syed Husin Ali, dan ahli-ahli Lembaga Pengarah PSR yang lain, Saudara Norman Said mewakili keluarga Allahyarham Said Zahari, seterusnya para hadirin hadirat sekalian yang saya muliakan.
2. Assalamu‟alaikum dan Selamat Datang ke acara Pelancaran Buku Puisi Dari Penjara (edisi baharu) karya Said Zahari, yang baru saja diterbitkan oleh Pusat Sejarah Rakyat kira-kira dua minggu yang lepas.
3. Nama Said Zahari yang lebih mesra dengan sapaan Pak Said adalah nama besar dan tersohor dalam bidang kewartawanan dan perjuangan mempertahankan kebebasan media serta sebagai seorang mantan tahanan politik yang teguh dan tegas yang mana kisah-kisahnya sudah menjadi legenda. Pengalaman beliau sebagai wartawan dan tahanan politik serta sebagai tokoh patriot yang berpendirian tegas dan berpandangan tajam terhadap sejarah anti-kolonial dan situasi tanah air dan rantau ini terkandung dalam trilogi memoir beliau — Meniti Lautan Gelora (2001), Dalam Ribuan Mimpi Gelisah (2005) dan Suara Bicara (2015).
4. Antologi Puisi Dari Penjara (edisi baharu) ini merupakan buku terbaru Pak Said yang menemui para pembaca. Penerbitan kumpulan puisi ini adalah hasrat beliau yang dinyatakan beberapa kali semasa hayatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 12 April 2016 pada usia 88 tahun. Syukur Alhamdulillah, hasrat itu dapat kami tunaikan setakat yang termampu – dan kami harap ia merupakan satu hadiah yang bernilai bagi mengenang jasa-jasa dan meneruskan legasi beliau yang cemerlang itu.
5. Karya ini diterbitkan dalam dwibahasa – Melayu dan Inggeris – setebal 316 halaman. Ia mengandungi kesemua 72 buah sajak Pak Said yang dihasilkan semasa beliau terkurung dalam “penjara ngeri” di Singapura (meminjam istilah Pak Said sendiri) selama 17 tahun dari 1963 hingga 1979. Semua puisi itu berjaya diseludupkan keluar dari penjara berperingkat-peringkat dengan cara tertentu semasa beliau masih dalam tahanan.
6. Mengiringi sajak-sajak dalam antologi Puisi Dari Penjara ini adalah perutusan khas Pengerusi Pusat Sejarah Rakyat Prof Syed Husin Ali, Bab Pengenalan oleh Editor buku Abdul Rahman Embong, dan tiga Kata Pengantar masing-masing oleh mendiang Dr Rajakumar (kata pengantar untuk antologi Puisi Dari Penjara edisi pertama 1973), sebuah lagi oleh sekumpulan mantan aktivitis pelajar di United Kingdom pada 1980-an yang sangat terkesan oleh sajak-sajak Said Zahari yang mereka baca dan hayati dalam edisi 1973, serta Kata Pengantar khas oleh Bapak Hersri Setiawan dari Jakarta, seorang tokoh penulis yang pernah menjadi tahanan politik di bawah rejim Soeharto selama lebih 13 tahun, termasuk 10 tahun dalam kem kerja paksa di Pulau Buru, Indonesia. Sajak-sajak Pak Said dalam bahasa Melayu dalam Puisi Dari Penjara (edisi baharu) ini diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Saudari Adriana Nordin Manan dan disemak oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh.
7. Selain itu, antologi ini mengandungi empat buah sajak sanjungan – masing-masing oleh dua orang Sasterawan Negara, iaitu Pak Usman Awang dan Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh; mendiang Francis Khoo (peguam hak asasi manusia dari Singapura, yang terpaksa berada dalam buangan di luar negara dan meninggal dunia di sana; isteri beliau ialah Dr Ang Swee Chai, seorang doktor yang terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaannya bersama-sama di khemah pelarian rakyat Palestin membantu mereka); dan satu lagi ialah sajak oleh Bapak Hersri Setiawan yang juga ditulis khusus untuk Pak Said, yang beliau panggil rakan seperjuangan “tapol” atau tahanan politik.
8. Penerbitan antologi Puisi Dari Penjara ini dan karya-karya beliau yang lain menunjukkan beberapa sisi bakat Pak Said yang hebat. Pak Said pertama-tama adalah seorang wartawan ulung yang memimpin akhbar Utusan Melayu pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, sebuah akhbar penyambung lidah rakyat yang lantang suaranya pada zaman itu. Di samping itu Pak Said juga membimbing sejumlah rakan-rakan wartawan yang rata-rata masih muda yang berkhidmat dalam Utusan dan yang turut bersamanya melancarkan mogok Utusan yang bersejarah pada 1961.
9. Sisi kedua ialah Pak Said juga seorang penulis memoir yang hebat, dengan karya-karya yang menarik dan mengharukan. Bahkan memoirnya yang pertama yang dilancarkan pada 2001 di Kuala Lumpur menjadi bestseller, diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Cina, dan turut dilancarkan di luar negara iaitu di Hong Kong, manakala memoirnya yang kedua, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah, memenangi Anugerah Sastera Perdana Kategori Biografi/Autobiografi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2009.
10. Dan sisi yang ketiga, iaitu sisi yang kita bicarakan dalam majlis ini, adalah bakatnya sebagai seorang penyair atau penulis puisi dalam dwibahasa seperti terbukti dengan antologi Puisi Dari Penjara (edisi baharu). Walaupun jumlah puisi itu tidak banyak, tetapi isi dan mutunya amat baik dan menyumbang kepada khazanah kesusasteraan perjuangan yang amat bernilai.
11. Berkarya dalam keadaan yang sangat sukar seperti dalam kurungan tembok berduri tanpa kemudahan alat tulis yang dialami Pak Said adalah satu kekangan yang luar biasa. Begitu juga setelah puisi itu siap ditulis, ia sukar untuk disimpan ataupun dibawa keluar.
12. Namun lantai simen yang dingin dan tembok bisu dengan kawat berduri itu tidak dapat mematahkan semangatnya atau menghalangnya dari berfikir dan berkarya. Dan beliau memilih genre puisi untuk mencurahkan perasaan dan buah fikirannya kerana, sepert kata beliau dalam sajaknya berjudul, Puisi (1976):
Aku masih yakin
Puisi bertenaga raksasa;
Punya kuasa melemah,
Dan punya zat memberangsang,
Ia bisa menghancur
Dan bisa pula membangun
Senjata —
Itulah puisi
Di tangan siapa,
kepada siapa ia mengabdi.
– (Said Zahari, Puisi, 1976)
13. Inilah pendirian Pak Said tentang peranan penting puisi. Bagi beliau, puisi yang beliau hasilkan adalah “senjata perjuangan pihak yang lemah” lebih-lebih lagi dalam keadaankebebasan dirinya yang dinafikan. Melalui puisi, beliau boleh berbicara dan mengungkapkan kata nurani, sehingga berjaya menghasilkan puisinya sebanyak 72 buah semasa dalam penjara
yang dipersembahkan dalam buku ini.
14. Satu perkara perlu kita nyatakan. Setiap penyair punya gayanya tersendiri. Walaupun isi sajak-sajak Pak Said kental menyatakan pendiriannya, dan kecenderungan ideologinya jelas, beliau tidak mengorbankan puisi sebagai karya seni menjadi luahan propaganda murahan. Ada kalanya kata-katanya halus menurut isi bicara, ada kalanya kata-kata itu tajam berbisa; adakalanya kata-kata itu mencerminkan sendu dan sayu, ada kalanya kata-kata itu bersemangat dan penuh optimis.
15. Ringkasnya bahasa dan pilihan kata-kata yang beliau gunakan menggetarkan emosi dan mencabar minda pembaca. Kemesraan, keramahan dan keriangan dapat kita rasai melalui sajak Hari Raya ataupun hari lahir, ataupun puisi meraikan ulangtahun perkahwinannya. Namun kita juga tersentuh dengan kata-kata atau ungkapan dan metafora yang menusuk jiwa,
mengimbau rasa sayu dan duka.
16. Walau apapun, inilah sifat puisi. Andaikata dalam seni muzik, lagu dan irama tidak boleh dipisahkan, dalam puisi, isi dan getaran rasa tidak boleh dipisahkan dari kata-kata dan gubahan bahasa.
17. Pak Said dan perjuangannya adalah dari satu era selepas Perang Dunia Kedua melawan kolonialisme membawa kepada zaman kemerdekaan, dan seterusnya zaman mengisi kemerdekaan. Zaman itu zaman yang bergelora, zaman pergerakan dan perjuangan. Puisi-puisi yang dihasilkannya
mengungkapkan semangat zaman tersebut.
18. Soalannya, apakah relevannya zaman beliau, karya beliau dan peristiwa sejarah pada pertengahan abad ke-20 yang terpisah agak lama jarak masanya dengan zaman sekarang, dekad ketiga abad ke-21 dan seterusnya? Apakah berlaku “keterputusan sejarah” ataupun sebaliknya wujud “kesinambungan sejarah” dari segi keterkaitan antara yang lampau dengan yang kini? Soalan ini sesuatu yang penting khasnya bagi mereka yang menganjurkan pandangan sejarah dari bawah, sejarah altenatif dan sejarah perspektif rakyat.
19. Dalam hubungan ini saya ingin memetik pandangan tokoh falsafah, sejarahwan, ahli politik serta pejuang demokrasi dan anti-fasis dari Itali yang terkenal, iaitu Benedetto Croce (1866-1952) yang menyatakan: “The practical requirements which underlie every historical judgment give to all history the character of “contemporary history‟.” Maksudnya, apabila kita membuat penilaian ke atas sejarah, ia secara sendirinya menjadikan sejarah itu mempunyai karakter kontemporer.
20. Apa sebabnya? Menurut Croce lagi, “Because, however remote in time events there recounted may seem to be, the history in reality refers to the present needs and present situations wherein those events vibrate” (Lihat buku Benedetto Croce, History as the Story of Liberty, Regnery, Chicago, 1970, halaman 19). Maksudnya, betapa lampau atau lamanya jarak masa sejarah itu, pada hakikatnya, ia mempunyai kaitan dengan keperluan zaman sekarang dan situasi sekarang yang merasai denyutan nadi atau getarannya. Di sinilah letaknya maksud kesinambungan sejarah itu.
21. Begitulah hakikatnya apabila kita mengkaji perjuangan Pak Said dan menghayati karya-karya beliau termasuk Puisi Dari Penjara ini. Perjuangan beliau dan karya-karya beliau adalah legasi yang amat berharga, yang getarannya terdapat dalam situasi dan tuntutan zaman sekarang dan juga akan
datang. Inilah tugas sejarah pada zaman sekarang daripada legasi Pak Said yang sudahpun dibicarakan oleh Profesor Syed Husin Ali dalam ucapan beliau sebentar tadi.
22. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Pak Said yang memberi izin untuk kumpulan sajaksajak ini diterbitkan, dan kepada semua pihak lain yang mendukung dan menjayakan penerbitan antologi puisi ini. Saya percaya para hadirin dan ramai pihak lain di luar sana akan terpanggil untuk membaca buku kumpulan sajak ini yang kini berada di pasaran.
23. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalammu‟alaikum warahmatullahi ta‟ala wabarokatuh. Terima kasih