Terdapat beberapa pendekatan kajian sejarah yang digunapakai oleh ahli-ahli akademik dan sejarawan. Namun, sejarah rakyat sebagai satu metode tidak popular di Malaysia. Apakah itu sejarah rakyat dan bagaimana cara mendapatkannya? Bagaimana juga cara menafsirkannya? Ikuti webinar kami bersama intelektual tersohor dan penulis buku ‘Sejarah Rakyat Malaysia: Khususnya Perkembangan Nasionalisme’ (2017) dan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris ‘A People’s History of Malaysia: with Emphasis on the Development of Nationalism’ (2018).
Pembicara: Prof. Dr. Syed Husin Ali
Tokoh aktivis-sarjana yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Prof. Syed Husin berkhidmat sebagai seorang pensyarah dan ahli akademik di Universiti Malaya dari tahun 1963 hingga 1990 dengan jawatan terakhir sebagai Profesor dan ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM. Setelah itu, beliau tetap aktif di dunia akademik sebagai penyelidik United Nations University di Tokyo (1990) dan Visiting Fellow Cambridge University di United Kingdom (2005). Hari ini, pada usia 84 tahun, beliau merupakan pengerusi Lembaga Pengarah di Pusat Sejarah Rakyat dan pengerusi Lembaga Penasihat di Yayasan Usman Awang. Beliau telah menerbitkan 30 buah buku termasuk buku-buku dokumentasi sejarah dan kajian sosial yang penting, antaranya “Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan” (1978), “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara” (1996), “The Malays: Their Problems and Future” (2008), dan banyak lagi. Bukan hanya seorang ahli akademik, Prof. Syed Husin berkhidmat sebagai senator di Dewan Negara dari tahun 2009 hingga 2012, dan diangkat Amnesty International sebagai prisoner of conscience atas tahanan beliau selama 6 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berikutan penglibatan beliau dalam protes melawan peningkatan harga barang di Baling (1974).
Komentar: Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.
Dikenali ramai dengan nama “Jomo KS”, beliau adalah seorang Penasihat Kanan di Institut Kajian Khazanah. Prof. Jomo adalah Visiting Fellow di Initiative for Policy Dialogue, Columbia University, dan Visiting Profesor di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Beliau pernah berkhidmat sebagai salah seorang daripada lima ahli Economic Action Council yang dipenegrusikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau merupakan pensyarah dan profesor di Universiti Malaya (1986-2004), ahli bebas National Economic Consultative Council (1989-1991), Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia, bekas Penolong Setiausaha Agung untuk Pembangunan Ekonomi di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (2005-2012), dan banyak lagi. Beliau pernah mengarang, antara lain, buku Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia. Dia juga terlibat dalam beberapa usaha sejarah baru seperti Buku Sejarah Dunia Moden, Di Mana Bumi Dipijak serta beberapa biografi pejuang tanah air, termasuk Mustapha Hussain dan Khatijah Sidek. Beliau juga berminat terhadap perbahasan tentang sejarah Melaka dan penyebaran Islam di Nusantara.
Tarikh: 20 Oktober 2020
Tempat: Google Meet