Pada hari ini dalam tahun 1915, telah tercetusnya “Perang Tok Janggut” melawan penjajah British di Kelantan.
Selepas Penjanjian British-Siam pada tahun 1909, pentadbiran negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis telah diserahkan kepada penjajah British yang mula menguatkuasakan undang-undang tanah dan mengenakan cukai-cukai yang berat ke atas penduduk negeri Kelantan. Penduduk yang tidak mematuhi undang-undang dengan tidak membayar cukai boleh ditangkap, didenda dan dipenjara tanpa diadili di mahkamah.
Keadaan ini telah mencetuskan penentangan dikalangan rakyat Kelantan. Seorang anak kelahiran Pasir Putih bernama Mat Hassan bin Munas yang juga dikenali dengan gelaran “Tok Janggut” telah memainkan peranan penting dalam perjuangan ini.
Tok Janggut telah menyeru penduduk Pasir Putih supaya tidak membayar cukai kepada penjajah British. Membayar cukai kepada penjajah bererti menyerahkan hak milik tanah rakyat ke tangan penjajah.
Gerakan tidak membayar cukai ini telah tersebar dan menyebabkan pungutan cukai penjajah semakin berkurangan. Pegawai Jenjajah telah mengeluarkan amaran kepada penduduk Pasir Putih dan menghantar polis untuk menangkap Tok Janggut. Pergaduhan kecil telah berlaku sehingga salah seorang dari anggota polis itu telah terbunuh.
Dengan demikian meletuslah “Perang Tok Janggut” pada hari itu, genap 100 tahun lalu pada 29 April 1915.
Angkatan Tok Janggut yang berjumlah 3,000 orang telah menyerang dan berjaya menawan pekan Pasir Putih. Setelah menawan Pasir Putih, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menubuhkan kerajaan sendiri.
Sultan Kelantan telah menyishtiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka dan mengeluarkan titah wang hadiah sebanyak $500 kepada sesiapa yang dapat menangkap Tok Janggut.
Untuk menghapuskan penentangan ini, penjajah British telah mengerah angkatan tentera perang mereka dari Singapura yang hadir lengkap dengan kapal perang dan persenjataan moden.
Selepas pertempuran demi pertempuran menentang tentera penjajah, akhirnya Tok Janggut telah terkorban bersama ramai angkatannya dalam pertempuran di Kampung Dalam Pupuh, Pasir Putih pada 24 Mei 1915.
Mayat Tok Janggut kemudian diarak di sekitar Pasir Putih sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah selama 3 hari di hadapan Istana untuk menakutkan rakyat yang masih menentang penjajah. Tok Janggut akhirnya dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.