Hari ini dalam tahun 1950, bertempat di 24-H, Henderson Road, Singapura, seramai 19 orang penulis muda telah mencapai kata sepakat menubuhkan sebuah badan sastera yang dinamakan ASAS 50 (Angkatan Sasterawan 1950).
Antara faktor yang melahirkan ASAS 50 ialah keadaan masyarakat dalam dan luar negeri yang bergolak menentang penjajahan, penindasan dan perjuangan rakyat. Keadaan sekeliling Malaya waktu itu terutama revolusi rakyat Indonesia serta kelahiran Angkatan 45 Indonesia adalah juga faktor yang penting dalam kelahiran dan penubuhan ASAS 50.
Tetapi semasa ditubuhkan, dasar dan tujuan ASAS 50 belum lagi menyebut tentang sesuatu tujuan yang tegas dalam sastera. Belum lagi melihat ‘sastera sebagai alat perjuangan kemerdekaan dan keadilan’ dan tidak juga menyebut bahawa ‘seni itu untuk masyarakat’. Hanya lima tahun setelah ASAS 50 ditubuhkan, iaitu dalam suatu mesyuarat agungnya barulah lambang atau motto kemasyarakatan dan kerakyatan dicantumkan secara rasmi dalam tujuan ASAS 50, yang berbunyi:
“Bahwa bahasa dan sastera adalah alat perjuangan perpaduan rakyat ke arah kemerdekaan, keadilan dan kemakmuran serta perdamaian hidup manusia.”
Antara penulis dan sasterawan yang terlibat dalam gerakan ASAS 50 adalah Keris Mas, Asraf, Masuri S.N., MAS (Mohd Arif Ahmad), Rosmera, Hamzah, Jymy Asmara dan Tongkat Warrant (Usman Awang).
Sumber: Majalah Nadi Insan (Ogos 1980), akhbar Berita Minggu (31 Januari 1982)