20 Julai 1961

Hari ini dalam tahun 1961, seramai 115 orang pekerja & wartawan Utusan Melayu telah melancarkan mogok bagi memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah pengambilalihan akhbar Utusan Melayu oleh parti pemerintah, UMNO.

Wartawan dan pekerja-pekerja kilang Utusan Melayu pada masa itu dengan tegas membantah pelantikan Ibrahim Fikri (ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Ketua Penerangan UMNO) sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu dan menolak dasar-dasar baru yang diusulkan oleh Lembaga Pengarah Utusan yang berikut:

(1) Memberikan sokongan penuh kepada parti yang memerintah, kerana itu akan lebih menguntungkan dari segi perniagaan.

(2) Menyiarkan berita-berita yang benar tetapi membatasi kepala-kepala berita kepada parti lain.

(3) Menyiarkan lebih banyak berita-berita dengan kepala berita yang besar mengenai menteri-menteri Parti Perikatan di mana ia dapat dilakukan, termasuk kenyataan-kenyataaan dasar penting.

(4) Menyokong Parti Perikatan apabila perbuatan sudah dilakukan dan mengkritik secara membina sesuatu keputusan yang buruk dibuat.

Pekerja-pekerja Utusan yang mogok telah menduduki perkarangan bangunan pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur secara berterusan dan mendirikan khemah protes tempat mereka tidur & makan sepanjang mogok berjalan.

Mereka menghadapi banyak halangan daripada majikan dan pihak polis. Tetapi mereka juga mendapat bantuan makanan dan kewangan dari golongan yang menyokong perjuangan untuk menegakkan kebebasan akhbar.

Salah seorang pemimpin mogok Utusan, Said Zahari, yang juga editor-in-chief akhbar tersebut telah menerangkan:

“We only wanted to ensure that Utusan Melayu would continue to be an independent national newspaper, not controlled by any political party. Our stand was that only an Utusan Melayu that was free from such control could truly serve religion, country and all the Malay people, not just a handful in a political party. Only with a free policy could Utusan Melayu be the voice of the people, fighting for the interests of the people with sincerity, integrity and courage.”

Selepas 30 hari mogok berjalan, kerajaan telah mengambil tindakan keras dengan menyingkirkan Said Zahari ke Singapura. Sebelas hari kemudian Tunku Abdul Rahman telah mengeluarkan surat perintah mengharamkan Said Zahari dari memasuki Persekutuan Tanah Melayu.

Setelah menghadapi pelbagai rintangan, khemah-khemah protes mereka akhirnya dirobohkan empat hari sebelum pemogokan mereka tamat pada 21 Oktober 1961.

Mogok mereka telah bertahan selama 93 hari tanpa mencapai matlamat asal mereka. Selepas mogok berakhir, Utusan Melayu (yang kemudian menukar nama menjadi Utusan Malaysia) terus dikuasai oleh UMNO sehingga ke hari ini.

Sumber: Akhbar The Straits Times, 21 Julai 1961 & akhbar Fajar, Ogos 1961

hids-mogos-utusan

Leave a Reply