Pada hari ini dalam tahun 1950, telah tertubuhnya sebuah badan perjuangan bernama Kesatuan Malaya Merdeka yang bergerak di Indonesia.

Badan ini telah ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob untuk menyambung perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang terpaksa dibubarkan pada bulan Mei 1950 akibat Undang-undang Darurat.

Sebelum perang, Ibrahim Yaakob merupakan salah seorang pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1937, organisasi politik pertama yang berbentuk kebangsaan dan bergerak meliputi seluruh Malaya.

Pada 1 Mei 1950 pucuk pimpinan PKMM telah memberi mandat kepada Ibrahim Yaakob untuk meneruskan perjuangan PKMM di Indonesia. Langkah ini telah diambil untuk menghadapi kemungkinan PKMM akan diharamkan oleh penjajah British kerana ramai pemimpin parti telah ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah di bawah Undang-undang Darurat.

Gambar di bawah menunjukkan dokumen penyerahan mandat dari pucuk pimpinan PKMM kepada Ibrahim Yaakob.

Sumber: ‘Sekitar Malaya Merdeka’, Ibrahim Yaacob (IBHY) (Kesatuan Malaya Merdeka, Bhg. Penerangan, 1950)

hids-mandat-pkmm-1950